WALAUPUN berada pada kedudukan yang tercorot dalam saingan Liga Super 2023, namun, Kelantan United FC (KUFC) masih mempunyai impian yang besar untuk mengalahkan seteru setempat.
Kelantan United FC mempunyai keyakinan tinggi dalam memberikan tekanan kepada Kelantan FC selepas berjaya merobek gawang Negeri Sembilan FC (NSFC) walaupun seri dengan keputusan 3-3 dalam perlawanan ke-12 liga di tempat lawan.
Sasaran itu bagi memastikan skuad Sang Kijang Hijau mengutip tiga mata penuh dan menamatkan saingan pusingan pertama Liga Super Malaysia 2023 bukan di kedudukan tercorot yang kini berada pada tangga terakhir.
Penolong ketua jurulatih Sang Kijang Hijau, Nazrulerwan Makmor. — Facebook/ KUFC
Menerusi satu hantaran di laman rasmi Facebook, Kelantan United Football Club, penolong ketua jurulatih, Nazrulerwan Makmor berkata, dia tetap menghormati pasukan The Red Warriors (TRW) yang dikendalikan oleh Frank Bernhardt.
Menurutnya, satu kerugian buat KUFC jika melepaskan peluang mengutip kemenangan pertama ketika pelawat berdepan pelbagai masalah dalaman ketika ini.
"Saya beranggapan, Kelantan FC sangat liat untuk kami tewaskan. Lihat saja rekod kami ketika berdepan mereka sejak musim 2020, sangat sukar.
"Tetapi kali ini, berbeza. Mereka ada banyak masalah. Ini peluang kami.
"Pemain saya tetap menghormati Kelantan FC, tetapi juga sangat rugi jika gagal mendapatkan kemenangan kerana inilah peluang kami untuk keluar dari tangga tercorot," kongsinya.
Nazrulerwan juga meluahkan bahawa barisan pemain Sang Kijang Hijau ketika ini juga sangat bersemangat serta mahu memberikan aksi terbaik pada perlawanan itu.
"Pemain telah melalui proses pemulihan cemerlang sekembalinya dari kekecewaan di Negeri Sembilan.
"Saya lihat mereka cukup bersemangat dan berkobar-kobar pada sesi latihan demi mencapai kejayaan sulung dalam saingan liga.
"Ini yang kami semua mahukan. Kami janji akan cuba memberikan aksi terbaik dan mencatatkan kejayaan dalam usaha pasukan untuk memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super setelah 13 perlawanan," jelasnya.
Pertembungan derbi Kelantan itu akan berlangsung di Stadium Sultan Mohammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada 2 Jun nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,