SKUAD Terengganu FC (TFC) berjaya menundukkan Kelantan FC dengan keputusan 4-2 dalam kelayakan separuh akhir saingan Piala FA yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada Sabtu.
Namun, kemenangan ke atas The Red Warriors (TRW) itu terpaksa dibayar dengan harga yang agak mahal apabila salah seorang penjaring muda TFC, Syafik Ismail mengalami kecederaan.
Insiden itu berlaku pada saat-saat terakhir pertembungan sengit kedua pasukan itu selepas Syafik menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-82.
Syafik (tengah) meraikan gol kemenangan selepas mencetak gol pada penghujung babak kedua.
Difahamkan, pemain sayap TFC itu mengalami kecederaan ACL (Completed Tear Ligament) pada bahagian lutut yang disahkan oleh pihak pengurusan pasukan itu pada Sabtu.
Pemain berusia 23 tahun itu dilaporkan bakal terlepas untuk beraksi bersama pasukannya dalam perlawanan Liga Super dan kejohanan Asean Football Cup (AFC).
Syafik merupakan antara watak penting skuad Sang Penyu yang mana sering diberikan kepercayaan oleh pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner untuk beraksi pada saingan Liga Super dengan 12 kali penampilan.
Walaupun tidak mencetak sebarang gol dalam Liga Super, namun, pemain berketinggian 1.63 meter itu merekodkan tiga hantaran bantuan untuk pasukannya.
Dalam perlawanan menentang TRW, ia merupakan kali kedua Syafik diturunkan untuk bermain dalam saingan Piala FA dan menjaringkan gol pertama peribadinya.
Pasukan TFC bakal tumpul bahagian serangan berikutan kecederaan yang dialami oleh pemain muda tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram