Kelebihan kaki kiri pemilik jersi no.16 mula jadi sebutan fans Gergasi Merah


  • Podium
  • Ahad, 28 Mei 2023

Sekitar aksi perlawanan menarik yang ditampilkan oleh pemain Selangor FC ketika menentang NSFC dalam saingan Piala FA pada Sabtu. — MFL

SKUAD Selangor FC berjaya menundukkan Negeri Sembilan FC (NSFC) dengan keputusan 3-1 di laman pihak lawan dalam aksi suku akhir Piala FA yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan pada Sabtu.

Kemenangan tersebut merupakan laluan mudah untuk Gergasi Merah mara ke pusingan separuh akhir saingan Piala FA.

Dalam babak pertama perlawanan, pasukan NSFC memulakan serangan dengan mematahkan benteng pertahanan Gergasi Merah melalui jaringan Safuwan Baharudin pada awal minit pertama permainan.

Gol pertama daripada skuad The Jangs membuatkan barisan pemain The Red Giants mula menunjukkan taring apabila Mukhairi Ajmal berjaya mencetak gol pada minit ketiga.

orozco

Aksi menarik penyerang Gergasi Merah, Orozco yang mendapat perhatian penyokong bola sepak tempatan.

Namun, siapa sangka kehadiran pemain kelahiran Venezuela, Yohandry Orozco menampilkan aksi menarik apabila berjaya meledak gol pada babak kedua perlawanan iaitu minit ke-60.

Orozco berjaya meletakkan skuad Gergasi Merah di hadapan babak kedua perlawanan apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-87.

Penyerang berbisa itu mula menjadi sebutan para penyokong Gergasi Merah kerana berjaya membawa pasukan itu mara ke separuh akhir Piala FA.

Pemain berketinggian 1.68 meter itu dikatakan mempunyai kelebihan dengan rembatan kaki kirinya yang kencang untuk merobek jaring lawan.

"Bisanya kaki kiri si nombor 16. Bola menerjah jaring bak peluru," kata Kepundenz Skeper Kepundez.

"Saya nampak kekuatan kaki kiri sewaktu hujan lawan Sri Pahang, umpanan bola cantik apatah lagi jika padang kering lebih cantik dan power," kata Muhamad Fauzi Sanin.

"Memang padu doh dia shoot, sudah jumpa rentak," kata Aziq Nabil.

Walaupun tidak mempunyai rekod jaringan dalam saingan Liga Super 2023, tetapi pemain berusia 32 tahun itu merekodkan tiga hantaran bantuan dalam perlawanan liga tersebut.

Namun begitu, dia berjaya mencetak dua gol dalam saingan Piala FA ketika menentang NSFC dan membuat satu hantaran bantuan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram