Bersinar di luar negara, bekas pengendali JDT jadi idaman kendalikan skuad TRW


  • Podium
  • Isnin, 29 Mei 2023

Kelantan FC terpaksa berputih mata apabila ditewaskan Terengganu FC dalam suku akhir Piala FA 2023.

ISU luar padang yang dihadapi oleh pasukan Kelantan FC ketika ini dikatakan salah satu punca prestasi barisan pemain skuad itu terus merudum sepanjang semua perlawanan berlangsung.

Hal ini kerana, pemilik kelab Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham mendedahkan bahawa tidak akan membayar gaji pemain kerana pasukan itu mengalami kekalahan yang berturut-turut.

Namun begitu, bukan sahaja pemain yang dipersalahkan malah pastinya berpunca daripada pemilihan jurulatih yang tidak berkualiti dan pengalaman yang tidak mencukupi dalam membantu pasukan itu memperolehi kemenangan.

Kini, The Red Warriors (TRW) menggunakan khidmat Frank Bernhardt yang kurang pengalaman dan pendedahan dalam dunia bola sepak.

Jurulatih yang berasal dari Jerman itu merupakan seorang pelatih pasukan UITM FC sebelum berpindah ke Kelantan FC.

mora

Benjamin Mora pernah mengendalikan skuad JDT menjadi juara Liga Super.

Sebelum ini, dia dikhabarkan akan digugurkan daripada jawatannya sebagai pengendali TRW sekiranya pasukan itu tewas dalam lima perlawanan.

Memandangkan skuad TRW tewas sebanyak lima kali dalam perlawanan Liga Super secara berturut-turut dan sekali dalam Piala FA, masa depan pengendali itu semakin mendapat bayangan bakal digugurkan.

Oleh itu, terdapat desas-desus yang mengatakan bahawa TRW kini sedang mengintai jurulatih yang berasal dari Mexico.

Penyokong TRW yang dikenali sebagai Jay Thai memberi pendapat agar pasukan Pantai Timur itu membawa masuk bekas ketua jurulatih Johor Darul Takzim (JDT), Benjamin Mora.

"Dikhabarkan Kelantan FC sedang dalam usaha mendapatkan seorang belas jurulatih Liga Malaysia dari Mexico," katanya.

Seperti yang diketahui, hubungan baik antara Zamsaham dan pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim sudah pasti akan lebih memudahkan proses tersebut.

Penyokong turut menyokong jika skuad TRW dapat membawa masuk pengendali berusia 43 tahun itu untuk mengendalikan Kelantan FC.

"Pada saya, kalau kita dapat Mora yang dulu bawa JDT sudah cukup bagus. Ada idea, pengalaman dan juga muda, insya-ALLAH. Gomo Klate Gomo," kata Bin Falik.

"Ikutkan, Norizam kan baik dengan TMJ. Bolehlah kalau kita buat baik dengan JDT, bolehlah kita pujuk Mora untuk join Kelantan," kata Zarif Ishak.

Benjamin Mora merupakan pelatih yang berasal dari Mexico. Mora sebelum ini berkhidmat bersama JDT dan kemudian berpindah ke kelab Atlas.

Tambahan pula, Benjamin Mora pernah membawa nama JDT merangkul kejuaraan Liga Super bermula musim 2017 sehingga 2021. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram