'Bertaubatlah Zamsaham', fans muak dengar penjelasan 'putar belit' pemilik TRW


  • Podium
  • Selasa, 30 Mei 2023

Zamsaham akan bertemu penyokong TRW secara dekat pada 3 Jun ini. — Bernama

MENJELANG pertemuan dengan penyokong pada 3 Jun ini, pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman seperti sudah bersedia untuk 'ditembak' dengan pelbagai soalan.

Norizam atau Zamsaham terlebih dahulu memberikan sedikit pencerahan berkaitan isu panas iaitu masalah gaji yang membelenggu pasukan The Red Warriors (TRW).

Seperti sudah dapat menghidu soalan berhubung status baki pemotongan gaji 50 peratus, Zamsaham terlebih dahulu membuat satu kenyataan di Facebook pada Selasa.

Menurut Zamsaham, dia sudah melunaskan gaji yang ditahan 50 peratus sebelum ini meskipun Kelantan tidak berjaya mencatatkan kemenangan dalam dua perlawanan seperti yang dimahukan.

"Saya telah bayar semua gaji, tak ada tunggakkan dan saya janji baki gaji yang ditahan 50 peratus, semua akan dibayar.

"Mainlah sehabis baik. Saya nak menang sebenarnya...itu sahaja," katanya dalam hantaran Facebook tersebut.

Masih berkaitan gaji, Zamsaham berkata, semua pemain Kelantan FC mendapat gaji penuh walaupun mungkin pembayaran dibuat sedikit lewat.

WhatsApp Image 2023-05-30 at 10.54.13

"Benar lambat dan ada bulan bayaran secara berperingkat dalam bulan sama tapi tiap-tiap bulan, semua pemain tetap dapat jumlah gaji penuh.

"Tidak benar dua bulan gaji tertunggak. Tapi ini bila kekalahan berterusan 10 kali. Saya kata nak gaji penuh April bagilah saya kemenangan.

"Main betul-betul sungguh. Saya bukan tolak, saya tahan. Saya nak cari duit susah. Biarlah rasa berbaloi dengan kemenangan. Kalau tak menang seri pun jadilah.

"Takdir ya takdir, tapi kenalah usaha lebih," katanya lagi.

norizam-corpas-800x533

Zamsaham berkata, untuk perlawanan minggu ini, dia mengharapkan agar pasukan dapat memberikan yang terbaik dan kemenangan.

"Kalau tak menang usahalah sehabis baik kepada seri. Kalau kalah, biarlah kalah bermaruah," katanya.

Pada masa sama, Zamsaham turut memohon doa daripada penyokong dalam kes saman tuntutan hutang berjumlah RM3.8 juta daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Katanya dengan duit itu, dia mahu membina padang latihan buat skuad TRW.

350469801_284130580711070_8515981351691366503_n

Di sebalik kenyataan itu, ada segelintir penyokong yang sudah luntur kepercayaan terhadap Zamsaham selepas banyak perkara buruk tentangnya dilondehkan oleh pemain dan bekas kakitangan.

Pemerhati sukan, Piang Shankly antara yang meninggalkan komen sarkastik di hantaran status itu ekoran audio tular Zamsaham memaki hamun pemainnya di dalam telefon.

"Apa-apa maki pemain dan staf dulu," tulisnya.

Malayantigerfans pun meninggalkan komen, "Bertaubatlah Zamsaham dan poster tanda orang munafik berbunyi - Diriwayatkan dari Abu Hurairah, dari Nabi Muhammad, beliau bersabda: Tanda orang munafik itu ada tiga: Jika berbicara ia berbohong, jika berjanji ia mengingkari dan jika dipercayai, ia berkhianat."

Kelantan FC kini berada di tangga kedua tercorot Liga Super 2023 dengan kutipan empat mata daripada 12 perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram