PASUKAN Kelantan FC terus berduka apabila ditundukkan PDRM FC 1-4 di laman sendiri dalam perlawanan saingan Liga Super 2023 pada Selasa.
Kekalahan demi kekalahan itu semakin menghantui skuad The Red Warriors (TRW) apabila hanya mencatatkan satu kemenangan sepanjang liga berlangsung.
Hal ini kerana, corak permainan yang ditampilkan oleh skuad berpangkalan di Pantai Timur itu nampaknya tidak memberikan tekanan kepada pihak lawan yang hanya membiarkan benteng pertahanan mudah dirobek.
Kegagalan dalam meraih mata kemenangan menyebabkan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman memberi amaran kepada skuad TRW iaitu dengan tidak membayar gaji penuh dan bonus prestasi (KPI) kepada pemain jika kalah berterusan.
Selain itu, Norizam yang juga dikenali sebagai Boszam itu dalam satu kenyataan mengatakan bahawa akan memecat pengendali TRW, Frank Bernhardt jika tewas lima kali berturut-turut.
Tewas di tangan PDRM merupakan kekalahan kali kelima berturut-turut TRW dan ia seperti memberikan satu bayangan bahawa kontrak jurulatih kelahiran Jerman itu bakal ditamatkan.
Sekitar aksi persembahan yang ditampilkan oleh pemain PDRM dalam menghadapi TRW. — Facebook/ TRW
Tambahan pula, dalam satu hantaran di laman rasmi Facebook Boszam mengiklankan jawatan kosong untuk mencari pekerja dalam perniagaannya namun ruangan komen tersebut dihujani dengan komen-komen penyokong TRW mengenai isu berkenaan.
"Zamsaham dulu kemain update pasal bola, setiap hari, sekarang sendu saja, pasal business pula, kalau tak boleh handle kelab bola lepaskan saja. Tak baik buat orang-orang bawah macam ini," kata Abdullah Munib.
"Percayalah cakap aku Zam, Kelantan tidak akan dapat menang, mesti coach kecergasan takda lagi itu, aku tengok player semua lembik. Sedih aku tengok team kesayangan aku macam ini, satu ja boleh cakap, jangan salahkan pemain, salahkan diri sendiri sebab club jadi macam ini," kata Ah Coii.
"Macam mana ini Boszam, takan nak jalan terus, takda peningkatan dan pencapaian, pengurusan juga failed, better tutup saja kelab bola Kelatann FC," kata Ezzat Farhan.
Kelantan kini menghuni tangga kedua terakhir dalam carta Liga Super dengan kutipan empat mata sepanjang 12 perlawanan.
Selepas ini, skuad TRW bakal berdepan dengan pasukan Terengganu FC yang dijadualkan 27 Mei dalam aksi Piala FA sebelum memulakan semula aksi Liga Super menentang Kelantan United pada 2 Jun depan di Stadium Sultan Mohammad IV, Kelantan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram