Dah 3 tahun, pemain TFC, Penang setia menanti Zamsaham 'update' isu gaji


  • Podium
  • Isnin, 15 Mei 2023

Skuad Kelantan FC pada 2018 yang dianggotai Nik Akif Syahiran dan Shahrul Nizam.

KEGAGALAN untuk menjaga kebajikan pemain dan staf kejurulatihan terus menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan penyokong, Kelantan FC.

Satu persatu individu meninggalkan The Red Warriors (TRW) dengan yang terbaharu pembantu jurulatih, Pol Corpas memilih untuk meninggalkan kelab berkenaan.

Sebelum Corpas, kelab Pantai Timur itu menyaksikan pemergian tiga pemain iaitu Shafiq Shaharudin, Christian Rontini dan Carli de Murga.

Ia selepas Kelantan FC bergelut dengan pelbagai masalah daripada kelewatan pengagihan jersi hingga pemotongan gaji pemain 50 peratus.

Masalah itu bukan sahaja dirasai dalam kalangan pemain dan kakitangan kelab Pantai Timur itu, malah ia turut menghimpit bekas pemain TRW.

WhatsApp Image 2023-05-15 at 15.23.33

Laman penyokong Onefootball.my berkata, bekas pemain Kelantan FC antaranya Nik Akif Syahiran (kini pemain Penang FC) dan Shahrul Nizam Ros Hasni (Terengganu FC) masih menunggu selama tiga tahun untuk menuntut pembayaran gaji daripada pemilik TRW, Zamsaham.

"Mereka sempat bersama Zamsaham selama enam bulan. Dikhabarkan surat sudah beberapa kali dihantar ke Kelantan tetapi tiada respons," katanya menerusi satu hantaran IG Story pada Isnin.

Bukan setakat, Nik Akif dan Shahrul Nizam, sebelum ini Kelantan FC dilaporkan berdepan tuntutan tunggakan gaji daripada tiga lagi bekas pemain skuad itu pada 2021.

Tuntutan tersebut dibuat Nazrin Nawi, Farisham Ismail dan dan Masaki Watanabe dengan membabitkan tunggakan gaji November 2020 berjumlah RM158,857.

Difahamkan isu bayaran gaji itu masih tidak dibayar sehingga hari ini.

Malah kes tersebut sudahpun dibawa kepada pihak Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) oleh pemain-pemain terbabit.

Kelantan FC melaporkan tiada masalah untuk membuat bayaran penuh kepada lima bekas pemain tersebut setelah ‘legal consel’ kami meneliti dari pelbagai aspek. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram