Belum sempat sesi bertemu fans TRW, ejen Moon-sik beri amaran jangan tertipu lagi kelentong Zamsaham


  • Podium
  • Isnin, 29 Mei 2023

Myeong-ho Jeong (kiri) bersama dua pemain Korea Selatan yang tiba di Malaysia, pada Ahad lepas.

KEMELUT dalaman yang semakin meruncing di Kelantan FC menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Ia dilihat semakin tidak terkawal selepas lebih ramai pemain dan bekas staf daripada rangkaian perniagaan pemiliknya, Norizam Tukiman, tampil mendedahkan isu dalaman yang membelenggu pasukan The Red Warriors (TRW).

Terbaharu, Farhan Abu Bakar nekad meninggalkan Kelantan FC dan lantang membawa suara-suara rakan sepasukan yang senasib dengannya.

Tatkala isu tersebut menjadi bahan perbualan penyokong TRW, Norizam atau Zamsaham memaklumkan bahawa dia akan membuka sesi soal jawab bersama penyokong di Hotel Zamburger Kelantan, pada 3 Jun ini.

Sesi soal jawab anjuran Boszam itu dipercayai bagi memberi pencerahan terhadap apa jua persoalan serta dakwaan yang ketika ini nampaknya datang daripada sebelah pihak sahaja.

Seperti sudah muak dengan 'kelentong' Zamsaham, ejen Korea Selatan, Myeong-ho Jeong seolah-olah memberi amaran supaya para peminat TRW tidak termakan dengan kata-kata Boszam.

photo1685332212

"Anda masih nak percaya dengan pemilik Kelantan FC?

"Jangan tertipu, pemain dan jurulatih tahu semuanya," kata ejen bekas pengendali TRW, Choi Moon-sik itu di laman Instagram @leo_jeong10.

Myeong-ho Jeong berterima kasih kepada peminat bola sepak tanah air kerana banyak menyokong dia dan Moon-sik sepanjang mereka bersama kurang empat bulan di kelab Pantai Timur tersebut.

"Ramai penyokong bola sepak Malaysia yang memberikan saya keberanian dan kekuatan, terima kasih," tulisnya lagi sambil memaklumkan, kumpulan pertama pemain Korea Selatan yang diuruskannya sudah tiba di Malaysia pada Ahad.

Sebelum ini, Myeong-ho Jeong dilaporkan tidak berganjak daripada keputusannya untuk mengheret Kelantan FC ke Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Pihaknya bersama beberapa individu lain sedang bekerja keras untuk membuat tuntutan undang-undang kes berkenaan kepada badan bola sepak dunia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram