Orang nampak pemain hebat, tapi ada yang bekerja keras di balik tabir — Aminuddin Omar


  • Podium
  • Isnin, 29 Mei 2023

Aminuddin menegaskan kesemua pihak perlu berganding bahu sekiranya mahu melihat kejayaan pasukan. — Facebook/Aminuddin Omar

SELEPAS 12 aksi Liga Super, Kedah Darul Aman (KDA) FC seperti masih belum mendapatkan rentak terbaik untuk dianggap sebagai pencabar takhta kejuaraan.

Tujuh kemenangan, empat kekalahan dan satu keputusan seri meletakkan pasukan Utara tanah air itu kekal di tangga kelima dengan hanya tiga mata dibezakan dengan Kuala Lumpur (KL) City FC di bawah mereka.

Bagi sesetengah pihak, kedudukan berkenaan bukanlah sesuatu yang cukup mengecewakan memandangkan kelab berkenaan cukup bergelut pada musim lalu.

Mereka yang menamatkan saingan Liga Super di tangga kelapan terpaksa menelan realiti pahit bahawa pelbagai perubahan segera perlu dilakukan pihak pengurusan.

Jadi, itulah apa yang diusahakan pemilik baharu, Tan Sri Mohd Daud Bakar sepanjang sesi pramusim dengan melakukan perbelanjaan besar-besaran.

Di samping membawa masuk pemain-pemain berkualiti, rombakan terhadap barisan kejurulatihan turut dilakukan yang menyaksikan jurulatih berpotensi, Nafuzi Zain diberikan kepercayaan.

FW911350_KL52_270719_JUARA__BN201907246172 (1)

Kejayaan Piala FA 2019 merupakan kenangan manis buat Kedah FA.

Namun, sehingga kini, prestasi tidak konsisten menyukarkan hasrat mereka untuk berada di kelompok tiga teratas yang kini dihuni Johor Darul Takzim (JDT), Selangor FC dan Sri Pahang FC.

Persoalannya, apakah langkah terakhir yang perlu dilakukan buat KDA FC bagi membolehkan mereka sekali lagi muncul sebagai salah sebuah kelab terbaik negara?

Isu tersebut pastinya membelenggu rata-rata penyokong tegar Hijau Kuning memandangkan kelab berkenaan pernah berada di kemuncak bola sepak tanah air.

Selain pernah muncul dengan gelaran treble sebanyak dua kali pada 2007 dan 2008, mereka juga pernah merekodkan beberapa momen manis sepanjang dekad lalu.

Dua trofi Piala FA dan Piala Malaysia 2016 merupakan antara pencapaian membanggakan buat pasukan berkenaan memandangkan mereka bukanlah sebuah kelab dengan struktur kewangan yang kukuh.

Jadi, persoalan pastinya timbul mengenai rahsia di sebalik kejayaan di dalam dan luar padang yang kini dilihat sukar untuk diulangi.

Menjawab akan hal itu, bekas Exco Belia & Sukan Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Aminuddin Omar berkata, kesemua pihak perlu memainkan peranan penting.

22339685_1696526997046437_818215248135973444_o

Aminuddin mempunyai hubungan yang cukup baik bersama pemain Sang Kenari sebelum ini. Facebook/Kedah FA

"Saya bagi contoh, kitman. Mereka ini jarang disebut-sebut oleh pengikut setia pasukan kerana mereka hanya ditugaskan untuk mengangkat bola, mencuci pakaian pemain dan sebagainya.

"Tetapi, kitman boleh memberikan inspirasi yang besar kepada pemain kerana dia boleh menjaga kesemua pemain dengan baik," katanya kepada Majoriti.

Katanya, kehadiran individu yang kurang diberikan perhatian media mahupun penyokong merupakan antara watak penting, lebih-lebih lagi dari segi psikologi pemain.

Aminuddin yang juga lebih sapa dikenali sebagai Pak Tam pernah memegang jawatan berkenaan buat beberapa tahun, yang mana dia berjaya mencipta keharmonian di dalam bilik persalinan.

Selain bertugas sebagai Exco, dia turut dilantik sebagai Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dengan tanggungjawab untuk menguruskan pasukan tersebut.

Tegasnya lagi, Aminuddin turut bertegas bahawa seorang individu atau pihak tertentu tidak boleh diharapkan secara 100 peratus jika mahu kejayaan diraih sesebuah organisasi.

"Bukan pemain di atas padang sahaja, tetapi barisan individu di belakang pemain itu, termasuk kitman, jurulatih dan lain-lain, adalah ramuan yang perlu ada untuk bawa kejayaan untuk pasukan.

"Jadi, pada saya, kesemua yang berada dalam bilik persalinan perlu ambil berat tentang bagaimana perlawanan itu berlangsung, apa yang perlu dibuat atau tidak perlu dibuat," ujarnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram