Kalau ada minat, baguslah — CEO TFC ulas kehadiran bekas bintang Selangor


  • Podium
  • Ahad, 28 Mei 2023

Ab Rasid mengakui pihak Terengganu FC terbuka untuk menerima pemain berkualiti seperti Nor Hakim. — Facebook/Terengganu FC

PEMAIN sayap Selangor FC, Nor Hakim Hassan membuat keputusan mengejut pada Sabtu apabila memilih untuk meninggalkan kelab Lembah Klang berkenaan.

Dia yang menyertai pasukan berkenaan pada 2019 dari Perak FA memilih untuk berpisah dengan skuad Gergasi Merah selepas khidmatnya kurang ditagih musim ini.

Kehadiran tonggak Harimau Malaya, Faisal Halim menyekat peluangnya bersama pasukan di samping perubahan taktikal ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe juga merumitkan keadaan.

Dalam saingan Liga Super, pengendali dari Kedah tersebut memilih untuk meletakkan Mukhairi Ajmal di posisi tersebut dengan pemain kebangsaan Myanmar, Hein Htet Aung juga kerap diberikan peluang.

Ia menyebabkan Nor Hakim hanya menerima empat penampilan cameo dalam aksi liga dengan kesemuanya hadir dari bangku simpanan.

Hal tersebut pasti dirasakan sedikit mengecewakan baginya memandangkan dia diberikan sinar baharu ketika kehadiran Cheng Hoe pada penghujung musim lalu.

Persoalannya, ke manakah destinasi pemain berusia 31 tahun itu selepas ini dengan harapan dia dapat minit permainan mencukupi bersama skuad senior.

2096809

Nor Hakim melakukan kejutan dengan meninggalkan skuad Gergasi Merah. Facebook/Selangor FC

Bagi sesetengah pihak, langkah terbaik seterusnya buat penyerang sayap dengan tiga penampilan kebangsaan itu sekiranya dia memilih untuk pulang ke kampung halaman, Terengganu.

Khabar angin tersebut berpunca daripada hantaran wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam yang menyebabkan penyokong bola sepak tanah air mula berteka-teki mengenai masa depan Nor Hakim.

Menjawab akan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC, Ab Rasid Jusoh berkata, pihaknya cukup gembira jika seseorang pemain berminat untuk sertai kelab Pantai Timur berkenaan.

"Kalau dia berminat, baguslah. Jika pemain berkualiti ni, saya boleh katakan kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan kalau ada yang tertarik," katanya kepada Majoriti.

Nor Hakim memulakan kariernya di Terengganu apabila menyertai T-Team sebelum berkelana untuk menyertai skuad The Bos Gaurus pada 2017.

Ketika berada di kelab Utara tersebut, dia menikmati satu tempoh yang cukup baik dalam kariernya dengan menjulang Piala Malaysia 2018.

WhatsApp Image 2023-05-28 at 17.57.43

Nor Hakim (kanan) ketika mewakili T-Team.

Namun, isu kewangan yang melanda Perak FA menyaksikan dia memilih untuk menyertai Selangor FC dengan kelab Lembah Klang itu cukup mendambakan khidmatnya.

Ketika ditanya mengenai sasaran dan aktiviti perpindahan ketika jendela kedua, Ab Rasid berkata, perbincangan akan dibuat bersama ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner.

"Untuk jendela perpindahan kali ini, kami sedang dalam pertimbangan untuk mendapatkan beberapa pemain.

"Yang dicadangkan oleh ketua jurulatih, kita akan bertemu dengan Jawatankuasa Pemilihan. Ada, kita memang ada beberapa cadangan dan beberapa pemain yang kita tahu sukar untuk dapatkan," katanya lagi.

Terengganu FC kini berada di tangga ketujuh Liga Super selepas 12 perlawanan di samping bakal berdepan antara Sabah FC atau Kuala Lumpur (KL) City FC dalam peringkat separuh akhir Piala FA. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram