Selesa bersama rakan dan taktikal Nafuzi, Hidalgo serah masa depan dengan Kedah


  • Podium
  • Ahad, 28 Mei 2023

Selepas 12 perlawanan, Hidalgo menyumbangkan tiga jaringan dan lima hantaran bantuan. — Facebook/KDAFC

MANUEL Hidalgo antara tonggak import yang sangat dialu-alukan kehadirannya ke Kedah Darul Aman (KDA) FC sehingga dia sendiri tidak menyangka ramai penyokong Hijau Kuning teruja dengan kedatangannya pada awal Januari lalu.

Mana tidaknya, berita perpindahannya ke Sri Pahang mencetuskan kontroversi dalam kalangan penyokong Tok Gajah berikutan skuad Sang Kenari sanggup membuat membayar pampasan memandangkan Hidalgo masih memiliki kontrak selama setahun dengan kelab Pantai Timur itu.

Pelaburan yang berbaloi buat pasukan di negeri Jelapang Padi itu terbukti apabila sepanjang 12 penampilan bersama KDA FC, pemain berusia 24 tahun itu kekal konsisten memberikan persembahan cemerlang.

Statistik menunjukkan pemain dari Argentina itu beraksi penuh 90 minit dalam empat perlawanan dari 12 perlawanan, selain menyumbangkan tiga jaringan dan lima bantuan hantaran.

WhatsApp Image 2023-05-28 at 16.43.40

Perpindahan Hidalgo ke Kedah pada awalnya mencetuskan kontroversi dalam kalangan penyokong Sri Pahang. — Facebook/KDAFC

Namun kini, lain pula jadinya apabila Hildago dikaitkan dengan perpindahan ke negara jiran yang mana bekas tonggak Sheffield Wednesday itu menarik minat kelab Liga 1 Indonesia, PS Barito Putera.

Memetik laporan dari media tempatan, Hidalgo bagaimanapun mengesahkan bahawa perkara itu tidak benar dan dia kini hanya meletakkan fokus sepenuhnya kepada Kedah.

Bukan itu sahaja, pemain sayap lincah tersebut juga berkongsi bahawa dia optomis bahawa pasukan Hijau Kuning semakin menunjukkan perubahan positif, selain menyukai dengan corak permainan jurulatih, Nafuzi Zain.

“Saya rasa kami semakin bertambah baik dalam setiap perlawanan. Berkenaan taktikal jurulatih (Nafuzi Zain), semakin hari kami (barisan pemain) semakin faham apa corak permainan yang jurulatih inginkan. Kami semakin belajar mengenai perkara itu.

“Mengenai masa depan saya bersama kedah, saya serahkan kepada Kedah, biar mereka yang memutuskan mengenai perkara itu,” katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2023-05-28 at 16.54.16

Hidalgo memetik Lira sebagai rakan baiknya di pasukan Kedah. — Facebook/KDAFC

Selain daripada gemar dengan pendekatan jurulatih muda itu, bekas pemain Benfica bawah 19 tahun tersebut juga mendedahkan bahawa dia semakin rapat dengan rakan sepasukan di skuad Sang Kenari.

Hidalgo menambah bahawa dalam kalangan pemain Kedah ialah penyerang Brazil, Willian Lira adalah rakan baiknya kerana kedua-dua mereka mempunyai persamaan dari segi bahasa pertuturan.

“Saya paling rapat dengan Willian Lira. Sebab kami bercakap bahasa yang hampir sama, perkara itu membuatkan kami semakin rapat.

“Selain Lira, saya juga rapat dengan Bojan Ciger, Amirbek. Sesama pemain import, kami bergaul sangat baik. Walaupun dengan pemain tempatan, kami mempunyai hubungan yang sangat baik,” tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram