PERBELANJAAN besar yang dilakukan Kedah Darul Aman (KDA) FC sepanjang jendela perpindahan lalu dilihat masih belum membuahkan hasil seperti diharapkan.
Kehadiran nama-nama popular, seperti Lee Tuck dan Manuel Hidalgo yang dibawa masuk dari Sri Pahang FC dikatakan terus bergelut untuk mendapatkan rentak.
Meskipun masing-masing sudah beberapa tahun menimba pengalaman dalam arena bola sepak tempatan, perubahan dari segi taktikal boleh dikatakan sebagai satu cabaran buat mereka.
Bagi penyokong Hijau Kuning, alasan berkenaan sukar untuk diterima kerana mereka berharap pelaburan yang dibuat pihak pengurusan boleh memberikan pulangan yang diharapkan.
Menurut harapan yang sering dikongsikan di media sosial, pengikut setia pasukan Utara tanah air itu berharap agar rombakan segera dilakukan terhadap kesebelasan utama pasukan.
Antara pandangan yang sering diluahkan adalah dengan mendesak agar pemain sayap, Fayadh Zulkifli Amin diberikan minit permainan dengan lebih kerap.
Sumbangan Fayadh cukup penting buat skuad Hijau Kuning musim lalu. — Facebook/Kedah Darul Aman FC
Selepas menjadi antara watak utama KDA FC musim lalu, penyerang berusia 24 tahun berkenaan lebih kerap diletakkan di bangku simpanan.
Tidak cukup dengan itu, penyerang berkenaan dilihat semakin tumpul di hadapan gawang gol lawan apabila dia masih menunggu untuk menjaringkan gol tunggalnya bersama skuad Sang Kenari musim ini.
Kekurangan minit permainan berkenaan pastinya sedikit mengecewakan pemain kelahiran Baling, Kedah tersebut yang kini terpaksa menelan realiti pahit di negeri kelahirannya.
Namun, menurut Fayadh, perkara tersebut bukanlah satu masalah yang terus meruncing memandangkan dia terus meletakkan kepercayaan terhadap ketua jurulatih, Nafuzi Zain.
"Bagi saya, keputusan untuk menurunkan saya lebih awal atau tidak bergantung kepada 'coach', tetapi kalau saya dapat bermain, saya akan beri yang terbaik untuk pasukan.
Fayadh mahu membuktikan kebolehannya dalam semua sesi latihan. — Facebook/Kedah Darul Aman FC
"Selain itu, saya juga berasakan semua pemain perlu berlatih bersungguh-sungguh bagi menerima kepercayaan pihak kejurulatihan dan jika diturunkan, mereka perlu berikan 100 peratus," katanya kepada Majoriti.
Musim lalu, Fayadh melakukan sumbangan cukup penting buat KDA FC dengan memperolehi empat gol dan tiga bantuan jaringan dalam 22 penampilan Liga Super.
Namun, dengan dia lebih kerap diberikan minit permainan dari bangku, Fayadh terus tumpul di atas padang, yang mana dijangka akan menyekat hasratnya untuk beraksi bersama skuad kebangsaan.
Tambahnya lagi, keputusan untuk menyisihkannya di bangku simpanan tidak akan menjatuhkan moralnya bersama skuad Sang Kenari kerana dia mahu menunjukkan kebolehan sebenarnya.
"Bagi saya, kalau saya kena duduk di bangku simpanan sekali pun, saya akan berlatih dengan lebih baik dan jika dapat beraksi, saya akan buat yang terbaik," katanya.
Fayadh merupakan antara graduan pasukan belia KDA FC dengan dia diberikan kepercayaan untuk bersama-sama pasukan senior pada pertengahan musim 2018.
Pemain berketinggian 1.6 meter itu sebelum ini pernah menikmati satu tempoh yang cukup manis bersama kelab berkenaan selepas menjulang Piala FA 2019. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram