KEMELUT demi kemelut mula membelenggu Kelantan FC yang pastinya menjatuhkan reputasi kelab yang pernah berada di puncak bola sepak tanah air itu.
Mereka yang berbelanja besar ketika jendela perpindahan lalu terpaksa menelan realiti pahit saban hari apabila mereka kini berada di tangga kedua tercorot Liga Super selepas 12 perlawanan.
Tidak cukup dengan itu, pasukan Pantai Timur itu juga terpaksa berputih mata selepas disingkirkan dari kancah Piala FA apabila ditundukkan Terengganu FC di tempat lawan pada Sabtu.
Jadi, memasuki jendela perpindahan kedua Liga Malaysia, skuad The Red Warriors (TRW) dijangka akan melakukan rombakan dengan membawa masuk beberapa pemain baharu.
Perkara tersebut sebelum ini disampaikan pemilik kelab, Norizam Tukiman yang memberikan gambaran bahawa sebilangan individu akan tiba dari Johor Darul Takzim (JDT).
Oleh itu, sekiranya mereka sememangnya mahu merekrut pemain berkualiti, pengorbanan perlu dilakukan terhadap skuad dengan melepaskan sesiapa yang kurang memberi sumbangan sepanjang separuh musim ini.
Farhan difahamkan bakal berkelana pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia yang akan datang. — Facebook/TRW Kelantan FC
Antara yang difahamkan sudah tidak lagi terikat dengan kelab tersebut ialah penjaga gol, Farhan Abu Bakar dengan hal tersebut dikongsikan menerusi laman Instagram peribadinya.
Keputusan berkenaan disifatkan amat tepat buat pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu yang hanya mengumpul satu penampilan bersama skuad TRW musim ini, iaitu ketika mereka tewas 1-6 kepada Sabah FC April lalu.
Bagaimanapun, perkara berkenaan dikongsikan secara tersirat dengan Farhan meminta agar mana-mana pasukan sekitar Lembah Klang untuk menawarkan kontrak buatnya.
Tetapi, pendedahan itu tidak terhenti di situ apabila penjaga gawang berusia 30 tahun tersebut bertindak berani untuk menceritakan suasana sebenar di sebalik kekalutan yang dialami pasukan berkenaan.
Menerusi satu audio yang dimuat naik pada Sabtu, ia difahamkan bahawa seorang pemain atau staf tidak dikenali ditegur dengan kurang sopan hanya kerana meminta gaji yang tertunggak.
Insiden itu difahamkan berlaku pada pertengahan bulan lalu kerana individu berkenaan seperti akan berlepas ke Sabah untuk aksi Liga Super di Stadium Likas, Sabah pada 19 April.
Perkongsian itu tidak terhenti di situ apabila Farhan juga meminta agar mana-mana pihak yang terkesan supaya berkongsi kisah dan pandangan mengenai Norizam.
Antara pendedahan yang dikongsikan penjaga gol Kelantan FC itu. — Instagram/frhnbkr
Tidak cukup dengan itu, pemain berusia 30 tahun terbabit turut mengkritik pihak pengurusan Kelantan FC secara tersirat, namun mudah difahami sesiapa yang membacanya.
"Kuda nak buat lumba tapi tak bagi dia makan, apabila hendak tiba waktu perlumbaan, kau harapkan mereka untuk menang. Tak menang, kau marah kuda dan baling mereka dengan botol.
"Kalau dah bagi makan, bagi tidur dan tempat elok seperti apa yang diperlukan, barulah kau boleh tembak jika tidak menang," tulisnya.
Hantaran berkenaan jelas menerima respons daripada rata-rata penyokong Kelantan FC berkongsi akan perkara tersebut di media sosial.
Malah, Farhan turut menghangatkan lagi suasana di sebalik isu berkenaan dengan menegaskan bahawa ia adalah satu keputusan yang salah untuk mana-mana pihak yang cuba mencalarkan reputasi bola sepak di negeri itu.
"Jangan main nama Kelantan, Kelantan tetap Kelantan sampai bila-bila, Kelantan pasukan legenda bola sepak Malaysia. Jangan rosakkan sejarah," katanya lagi.
Pemain berkenaan sebelum dibawa masuk dari sebuah kelab amatur, KL Rovers pada Januari 2023 selepas pernah berkelana bersama beberapa pasukan Liga Super, termasuk Kedah FA dan Sarawak United FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram