Ronaldo mengamuk terlepas gelaran Liga Pro Saudi


  • Podium
  • Ahad, 28 Mei 2023

Ronaldo tidak berpuas hati apabila dikeluarkan pada minit ke-84 ketika beraksi bersama Al-Nassr.

BEKAS bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo kecewa kerana terlepas gelaran juara Liga Pro Saudi.

Pasukan Al Nassr hanya sekadar seri 1-1 dalam perlawanan menentang Al Ettifaq pada Sabtu.

Manakala, Al Ittihad dinobatkan sebagai juara berikutan kemenangan menewaskan Al Feiha dengan keputusan 3-0 di tempat lawan.

Al Nassr yang berbaki satu lagi perlawanan musim ini menentang Al Fateh tetapi ketinggalan lima mata di hadapan Al Ittihad yang berada di tangga teratas.

Ia merupakan perlawanan yang mengecewakan sepanjang berada di Liga Arab Saudi buat Ronaldo susulan tidak dapat menjaringkan gol apabila digantikan pada minit ke-84.

Youssoufou Niakate meletakkan Al Ettifaq di hadapan dua minit sebelum separuh masa dengan Luiz Gustavo menyamakan kedudukan untuk Al Nassr pada minit ke-56.

Selepas meninggalkan Manchester United pada November lalu, Ronaldo memperoleh pertukaran ke Al Nassr dan membuat penampilan sulung pada Januari.

Setakat ini bintang Portugal itu telah menjaringkan 14 gol dalam 16 perlawanan liga untuk Al Nassr dan merupakan penjaring terbanyak kelima dalam bahagian musim ini walaupun dia menyertai pada pertengahan musim.

Bagaimanapun, Al Nassr berada di tangga teratas apabila Ronaldo menyertainya tetapi mereka akhirnya terlepas gelaran liga. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram