Nor Hakim Hassan sah tinggalkan Selangor, bakal pulang ke negeri kelahiran


  • Podium
  • Ahad, 28 Mei 2023

Nor Hakim sah meninggalkan Selangor FC selepas perlawanan menentang Negeri Sembilan pada Sabtu. — Facebook/Selangor FC

SELEPAS empat musim menabur bakti bersama Selangor FC, Nor Hakim Hassan sah meninggalkan skuad Gergasi Merah selepas perlawanan terakhir bertemu Negeri Sembilan FC dalam kejohanan Piala FA di Stadium Paroi, Negeri Sembilan pada Sabtu.

Nor Hakim yang mula menyertai Selangor FC dari Perak FC pada Disember 2019 tidak mampu menujukkan kemampuannya apabila terpaksa berehat panjang selepas mengalami kecederaan di bahagian lutut (ACL).

Namun begitu, pemain berusia 31 tahun itu bangkit semula selepas pulih daripada kecederaan sehingga berjaya menarik minat ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon untuk memanggilnya menyertai kem Harimau Malaya bagi mengharungi kempen Piala AFF 2022.

Musim ini pemilihan Nor Hakim di dalam kesebelasan utama Selangor FC agak terhad selepas posisinya diambil oleh bintang baharu Gergasi Merah, Faisal Halim yang menyertai skuad bimbingan Tan Cheng Hoe awal tahun ini.

Selangor FC menerusi laman Facebook rasmi pasukan mengumumkan perpisahan bersama Nor Hakim selepas tamat perlawanan menentang Negeri Sembilan pada Sabtu.

"Selepas perbincangan mendalam, Hakim Hassan telah memutuskan untuk meneruskan kerjayanya dengan kelab baharu.

"Justeru, Selangor FC ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih atas khidmatnya selama empat musim yang lalu dan kami mendoakan yang terbaik dalam kariernya," katanya.

Menerusi perkongsian wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam di Twitter, Nor Hakim bakal pulang ke negeri kelahirannya dengan menyertai Terengganu FC.

"Nor Hakim Hassan tinggalkan Selangor FC, difahamkan kontraknya ditamatkan menerusi persetujuan bersama.

"Selepas empat musim beraksi dengan Red Giants, destinasi seterusnya dikhabarkan Terengganu FC," ciapnya pada Sabtu.

Sejak menyertai Selangor FC, Nor Hakim berjaya membuat 52 penampilan dan menjaringkan tujuh gol serta tujuh bantuan jaringan.

Sepanjang bergelar pemain bola sepak, Nor Hakim pernah menyarung jersi T-Team FC, Perak FC dan Selangor FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram