SELANGOR FC mara ke peringkat separuh akhir Piala FA selepas membenam pasukan tuan rumah, Negeri Sembilan FC 3-1 pada perlawanan suku akhir di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan pada Sabtu.
Permulaan yang cukup bertenaga dipamerkan kedua-dua pasukan apabila berhasil mencipta gol dalam tempoh tiga minit pertama permainan dengan Negeri Sembilan terlebih dahulu di hadapan menerusi tandukan tepat pemain import, Muhammad Safuwan Baharuddin selepas 43 saat aksi bermula.
Skuad Gergasi Merah tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan dengan rembatan kencang ketua pasukan, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi pada minit ketiga yang memanfaatkan gerakan dan hantaran tepat Mohamad Faisal Abdul Halim.
Bersambung babak kedua, Selangor yang merupakan juara Piala FA lima kali menambah tekanan tuan rumah dengan gol kedua hasil rembatan kencang kaki kanan pemain dari Brazil, Yohandry Jose Orozco pada minit ke-60.
Skuad kendalian Tan Cheng Hoe mengesahkan kemaraan ke separuh akhir dengan bergaya selepas Orozco memastikan malam gemilang pasukan Selangor dengan meledak jaringan ketiga pada minit ke-87 selepas dia memanfaatkan hantaran Faisal Halim.
Sikh Izhan dibolosi tiga gol ketika menentang Selangor FC. — Facebook/NSFC
Meskipun Negeri Sembilan terhimpit dengan kekurangan pemain import namun pujian harus diberikan kepada skuad The Jang bimbingan K. Devan yang berhasil mencipta beberapa percubaan berbahaya ke arah gawang gol pasukan lawan.
Menerusi perkongsian wartawan Astro Arena, Syifa Nasir di Twitter, K. Devan bertegas mahukan khidmat pemain import jika ingin lihat keputusan yang lebih baik.
"Hari ini saya turun padang dengan ikat satu kaki sebelah, nak suruh main dengan orang yang ada dua kaki.
"Jadi saya nak mereka jangan tengok pada keputusan tapi tengok apa masalah dia.
"Sepatutnya kalau saya sudah diberi lima atau enam, tujuh pemain import dan saya kalah mungkin boleh salahkan kita.
"Selangor ada sembilan pemain import, kalau kita banding dengan dia (Selangor) tak bolehlah," katanya.
Casagrande gagal membantu Negeri Sembilan layak ke peringkat separuh akhir Piala FA. — Facebook/NSFC
Tambahnya lagi, faktor kejayaan sesebuah pasukan dalam Liga Malaysia ialah mempunyai pemain import yang bagus.
"Dalam bola sepak Malaysia kalau awak ada pengalaman, yang mereka menentukan 'design factor' dalam liga ini pemain import.
"Bukan pemain tempatan, kalau awak ada pemain import, awak boleh buat 'design factor', kalau tak ada import macam mana?" soalnya.
Selepas kemenangan ke atas Negeri Sembilan, Selangor mengesahkan tiket ke peringkat separuh akhir dan bakal menunggu keputusan di antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Penang FC yang akan berlangsung pada Ahad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram