PENGALAMAN berharga serta impak diharapkan daripada sentuhan bekas jurulatih akademi Bayern Munich, Datuk Lim Teong Kim bersama Perak FC ternyata tidak menjadi, sekali gus menyaksikan 'jodoh' mereka berakhir sebelum jendela perpindahan kedua liga berlaku.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Perak FC pada Khamis, kelab itu mengumumkan Teong Kim bukan lagi pengendali pasukan yang berkuatkuasa serta-merta.
"Kami mengucapkan terima kasih kepada Datuk Lim di atas sumbangannya dan mendoakan yang terbaik untuk karier beliau pada masa hadapan," kata kenyataan itu.
Susulan itu, jurulatih skuad Piala Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Perak iaitu Yusri Che Lah diumumkan sebagai pengendali sementara skuad The Bos Gaurus bagi mengharungi baki aksi Liga Super itu.
"Yusri Che Lah akan mengambil alih tugas sebagai Ketua Jurulatih Sementara untuk masa terdekat."
Kenyataan rasmi dari Perak FC. — Facebook/Perak FC
Pemecatan Teong Kim itu nyata mengejutkan seluruh penyokong bola sepak kerana sebelum ini Perak FC menegaskan mereka akan bertindak secara profesional mengenai sebarang keputusan drastik ke atas pengendali berusia 59 tahun itu.
Memetik laporan Nadi Arena sebelum ini, Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi pernah berkata, mereka memberi peluang kepada Teong Kim selama dua tahun untuk membina skuad The Bos Gaurus.
"Kena beri masa kerana (proses) ini akan memakan masa yang lama. Ibaratnya kota Rom tidak dibina sehari. Jadi tunggulah.
"Kontraknya adalah selama dua tahun, itulah jangka masa yang kami berikan kepadanya.
"Tapi baru beberapa bulan kita dah cari pasal, saya ingat ini tidak profesional lagi," katanya.
Dengan pemecatan Teong Kim itu, rata-rata peminat sukan tanah air memberikan pelbagai komen dan pandangan tentang hal tersebut.
Laman Facebook Football Agent - Malaysia dalam satu hantaran beri contoh berapa lama masa yang diberikan oleh Mikel Arteta untuk membawa Arsenal menjadi pasukan pencabar seperti hari ini.
"Arteta perlukan beberapa musim untuk Arsenal berada di 'Top 2' Liga Perdana Inggeris (EPL).
"Sepatutnya pengurusan Perak perlu terus mempercayai Teong Kim bagi mengemudi kelab itu. Ini kerana tidak ada tekanan untuk mengejar piala mahupun penyingkiran pada musim ini.
"Ramai juga yang berkata, 'apa guna bermain cantik tapi kalah'. Kalau fikir sejenak, mengapa pemain bermain tidak cantik apabila berada di mana-mana skuad kebangsaan? Ini kerana daripada peringkat kelab lagi sudah dididik cara sebegitu.
Arsenal musim ini berjaya menduduki tempat kedua di EPL. — Agensi
Tambahnya lagi, Teong Kim sedang mengajar pemain-pemain Perak untuk bermain dengan cara perlawanan 'high intensity game' dan supaya sentiasa bersedia jika dipanggil menyertai pasukan kebangsaan.
"Beberapa jurulatih Eropah pernah memuji pemain-pemain tempatan Malaysia apabila melakukan 'tour' di luar negara, namun mereka memberitahu bahawa kelemahan pemain kita adalah 'tactical awareness'. Itu salah satu sebab mengapa kita selalu mencapai kemenangan di peringkat umur muda tetapi pencapaian terbantut apabila memasuki skuad utama negara yang melibatkan 'high intensity game'. Maka, itulah yang Teong Kim sedang 'install' kepada pemain beliau.
"Kesimpulannya adalah 'trust the process'. Apabila ketua jurulatih baharu mengambil alih, maka kena bermula dari awal dan pemain akan ambil masa untuk 'adapt' taktikal baru. Sekiranya tidak menjadi, apakah akan lantik jurulatih baru sekali lagi? Maka, hasil yang dikehendaki tidak akan menjelma juga.
"Ingat, 'end user' adalah skuad kebangsaan," jelasnya.
Yusri Che Lah kini mengambil alih tugas sebagai Ketua Jurulatih 'Interim' Perak FC. — Facebook/Perak FC
Sepanjang 12 aksi liga setakat ini, Perak hanya mampu melakar dua kemenangan dengan selebihnya tumbang tujuh kali dan seri tiga kali.
Ia menyebabkan pasukan itu menghuni tangga ke-11 dengan hanya mengumpul sembilan mata.
Kekalahan 1-3 di tangan Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Selasa lalu adalah perlawanan terakhir Teong Kim bersama Perak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram