BERITA mengenai pemain cilik berbakat besar, Muhammad Aqil Mohd Shamsul Aswadi yang berjaya dibawa Johor Darul Takzim (JDT) dilihat sebagai kejayaan kepada skuad Harimau Selatan dalam menyambar permata berbakat besar itu.
Muhammad Aqil sebelum ini tular di media sosial yang dilihat cukup tenang dalam melakukan hantaran serta mengawal bola dalam satu perlawanan menentang pemain lebih berusia.
Akademi JDT adalah satu-satunya akademi kelab bola sepak profesional sepenuh masa yang menawarkan latihan bola sepak, pendidikan dan penginapan, sekali gus tidak menunggu lama meminang Aqil.
Dengan itu, banyak pasukan Liga Malaysia terpaksa berputih mata dengan kemasukan Aqil ke dalam akademi JDT itu kerana terlepas peluang menyambar bakal bintang muda itu.
Aqil (kanan) bersama keluarga meninjau Stadium Sultan Ibrahim, Johor. — Facebook/JDT
Sudah hampir seminggu berlalu, seorang penyokong, Hot_Ice di Facebook berkongsi perkembangan Aqil bersama Akademi JDT.
Menerusi perkongsian itu, Aqil dilihat sudah mula beraksi bersama Akademi JDT dan sudah pun menyarung jersi Harimau Selatan itu.
Namun nombor jersi yang disarung oleh Aqil di Akademi JDT itu tidak dipastikan kerna faktor gambar yang kurang jelas walaupun kelihatan nombor 56 pada seluarnya.
Aqil dilihat sudah pun memulakan latihan bersama Akademi JDT. — Facebook/Hot_Ice
Dengan perkembangan mengenai pemain cilik berusia 13 tahun ini, penyokong mula menasihati media agar tidak terlalu memberikan 'spotlight' kepadanya yang masih baru dalam dunia bola sepak.
"Rasanya lebih baik dikurangkan tumpuan media pada si cilik ini, bagi dia ruang serta masa utk menikmati usia mudanya disamping rakan sekolah serta latihan bola sepak di JDT.
"Kerana perkara sebegini pernah berlaku dulu pada Titus James Palani yang kini hilang begitu saja," kata Qudin J Hardy.
"Sedikit sebanyak tumpuan media boleh jejaskan fokus anak muda ini.
"Walaupun JDT ada syarat yang ketat bab media sosial, tapi kita di luar harus berpada-pada dalam memberi tumpuan," ujar Naim Saleh.
"Stop media, bahaya, kalau kita letak tekakan pada dia di usia yang muda," luah Yus Yusrin.
Apa pun, semoga Muhammad Aqil berjaya menggampai impian menjadi pemain bola sepak terkenal satu hari nanti.
Bakat yang ada usah disia-siakan kerana perjalanan yang bakal mungkin tidak semudah yang disangka.
Untuk rekod, Akademi JDT pernah melahirkan bakat-bakat muda dalam arena bola sepak yang kini mencurah bakti kepada pasukan Harimau Selatan seperti Arif Aiman dan Feroz Baharudin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram