MVP, kapten Perak II antara 3 pemain bakal diserap ke skuad utama TBG


  • Podium
  • Ahad, 28 Mei 2023

Obiozor (tengah) antara salah seorang pemain dari skuad utama Perak FC yang sebelum ini dibimbing oleh Teong Kim. — Perak FC

PERAK FC memperoleh nadi kejurulatihan baharu apabila Yusri Che Lah diberi tanggungjawab sebagai ketua jurulatih sementara menggantikan Datuk Lim Teong Kim yang direhatkan serta-merta.

Dengan kehadiran pengendali dari Perlis itu selaku jurulatih baharu The Bos Gaurus (TBG), pastinya akan ada rombakan dalam kalangan pemain skuad utama ketika ini.

Bahkan menerusi rombakan itu, tidak mustahil ada pemain Perak II yang bakal diserap ke skuad utama berdasarkan prestasi semasa mereka di bawah bimbingan Yusri yang sebelum ini mengendalikan pasukan kedua TBG.

Untuk peringkat awal, agak sukar untuk meneka siapa yang terlibat, namun ada tiga nama utama termasuk seorang pemain yang dikongsikan laman penyokong Silver Retro, yang mungkin akan dipertimbangkan oleh Yusri.

348572189_616054380587605_314494632440648308_n

Obiozor gagal menghadirkan sebarang jaringan menerusi lapan penampilan di pentas Liga Super. — Facebook/ Perak FC

1. Christian Obiozor

Penyerang import dari Nigeria ini sepatutnya bermain bersama skuad utama di bawah kendalian Teong Kim, namun selepas mengharungi beberapa perlawanan, dia diturunkan ke skuad Perak II.

Obiozor yang menjadi sandaran di samping Hadi Fayyadh gagal menghadirkan sebarang jaringan menerusi lapan penampilan di pentas Liga Super.

Situasi tersebut menyaksikan penyerang berusia 28 tahun itu tersisih daripada beberapa perlawanan Liga Super dan sekadar bermain di saingan Piala MFL.

Mungkin kepercayaan Yusri kepada Obiozor semasa sama-sama di skuad Bawah 23 Tahun Perak FC bakal mengubah nasib awang import itu, namun dia harus segera membalas jasa dengan memperbaiki ketumpulan dan menghadirkan seberapa banyak jaringan untuk membantu pasukan.

Obiozor juga sebelum ini pernah mendedikasikan ucapan khas Yusri kerana dipercayai membantunya dalam kerjaya bola sepaknya di Perak FC.

348481293_983955082963162_7615230825174660780_n

Khairul Asyraf (dua kanan) menggalas tugas sebagai kapten Perak II. — Facebook/ Perak FC

2. Khairul Asyraf Ramli

Kapten Perak II ini juga dirasakan layak mendapat tempat dalam skuad utama berdasarkan persembahannya setakat ini.

Pemain tengah bertahan berusia 28 tahun itu disifatkan memiliki sifat kepimpinan di padang yang baik untuk diketengahkan.

Malah dengan ciri-ciri kepimpinan itu, Khairul Asyraf dilihat sebagai salah seorang calon yang boleh dipertimbangkan untuk menggantikan Muhamad Hafizal Alias, yang dikecam penyokong kerana gagal memainkan peranannya.

348555116_923333182235798_5275157646880581780_n

Zul Fikri dijangka diberi peluang beraksi bersama pasukan utama Perak dalam baki saingan Liga Super tahun ini. — Facebook/ Perak FC

3. Zul Fikri Jamilulhayat

Seorang lagi nama yang disebut-sebut penyokong ialah pemain Perak II, Zul Fikri Jamilulhayat yang dicungkil bakatnya daripada program bola sepak akar umbi anjuran, Piala Dato' Seri Azim Zabidi.

Pemain muda itu mula dikenali selepas dinobatkan selaku pemain paling bernilai (MVP) di saingan Piala Dato' Seri Azim Zabidi 2022.

Bekas pertahanan tengah pasukan amatur, Ashby Rovers itu dilihat antara prospek yang dijangka diberi peluang beraksi bersama pasukan utama Perak dalam baki saingan Liga Super tahun ini.

Kehadiran Zul Fikri bakal menyaksikan satu rombakan di barisan pertahanan Sang Seladang menjelang perlawanan menentang naib juara Piala Malaysia 2018, Terengganu FC nanti.

Untuk rekod, Perak FC kini masih kekal berada di tangga ke-11 dengan mengumpul sebanyak sembilan mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram