MESKIPUN tidak memiliki pretasi cemerlang dalam saingan Liga Super, Terengganu FC masih menunjukkan kesungguhan cukup memberangsangkan dalam usaha untuk layak ke final Piala FA 2023.
Selepas dikecewakan dalam edisi yang lalu, pasukan Pantai Timur tersebut berhasrat untuk memadam kenangan gelap itu, sekali gus menamatkan kemarau kejuaraan sejak lebih 10 tahun yang lalu.
Tambahan pula, rombakan yang dibuat pihak pengurusan sepanjang sesi pramusim lalu diharapkan dapat membuahkan hasil baik dari segi pencapaian di dalam mahupun luar padang.
Namun, melihat kepada perbandingan dalam kualiti skuad antara musim ini dan musim lalu, terdapat perbezaan ketara boleh disenaraikan, lebih-lebih lagi dalam aspek serangan pasukan.
Musim ini, tanggungjawab tersebut dipikul dua penyerang yang baru sahaja menapak dalam Liga Malaysia, iaitu Ivan Mamut dan Adisak Kraison meskipun kedua-dua mempunyai pengalaman cukup mendalam.
Bagi Adisak, tahun-tahun permainannya di tanah kelahirannya, Thailand bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan memandangkan usianya semakin lanjut dan beberapa siri kecederaan merencatkan kebolehannya.
Ivan Mamut pula dilihat sedikit sukar untuk menyuntik sengat di barisan serangan meskipun mempunyai hubungan cukup baik dari segi komunikasi bersama ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner.
Adisak (kiri) dan Mintah mempunyai persefahaman cukup baik di atas padang. — Media sosial
Walaupun sudah memperolehi empat jaringan peribadi dan satu bantuan gol setakat ini, pemain kelahiran Croatia tersebut masih belum berada di prestasi terbaik, lebih-lebih lagi dari segi hubungannya bersama rakan sepasukan.
Namun, skuad Sang Penyu masih boleh menarik nafas lega dengan kehadiran seorang pemain yang dianggap sebagai antara yang senior dalam pasukan tersebut, Jordan Mintah.
Kepantasan, kelincahan dan deria penyudahnya cukup baik memandangkan dia mempunyai kebolehan untuk menyudahkan peluang-peluang keemasan yang dihidangkan rakan sepasukan.
Statistiknya juga boleh dianggap sebagai cukup membanggakan dengan dia menjaringkan enam gol, termasuk empat dalam kancah Liga Super.
Jadi, kebolehannya itu diharapkan dapat membantu rakan sepasukan di dalam dan luar padang, sekali gus membolehkan Terengganu FC berada di tahap lebih baik memandangkan permulaan sukar yang dialami mereka awal musim lalu.
Harapan terbabit seperti didengari pemain kelahiran Ghana tersebut dengan video tular yang dikongsi penyokong skuad Sang Penyu, Anna Rivera menerusi aplikasi TikTok baru-baru ini.
Video berdurasi 45 saat tersebut memaparkan Mintah menikmati makanan tempatan bersama Adisak yang dihidangkan peminat setia Terengganu FC berkenaan dengan kedua-dua mereka dilihat cukup senang.
"Bagus sangat persahabatan antara Jordan dan Adisak ni," tulisnya ringkas.
Umum mengetahui bahawa kedua-dua penyerang terbabit mempunyai hubungan cukup baik di luar padang dengan ada yang mengatakan mereka merupakan rakan sebilik setiap kali pasukan berkenaan berkunjung untuk hari perlawanan.
Ia berikutan beberapa video yang tular sebelum ini dengan Mintah sering dilihat mendedahkan suasana di Malaysia bagi membolehkannya menyesuaikan diri dengan lebih mudah.
Hantaran itu menerima respons cukup baik daripada rata-rata penyokong Terengganu FC yang mengharapkan gandingan penyerang berkenaan dapat mencetuskan momen kebangkitan buat skuad Sang Penyu sebelum tirai Liga Super dilabuhkan.
"Suka tengok mereka ni, kawan cukup baik seperti ini. Semoga persefahaman sebaik ini boleh menjaringkan gol dengan lebih banyak," kata Nazmi.
"Sebelum ini, memang saya tahu bahawa Adisak tiba dengan hubungan cukup baik bersama Mintah," kata Syahmi.
"Setahu saya, Adisak sedang mengalami kecederaan, jadi saya harap dia bolehlah diturunkan selepas ini. Rindu juga bila dia turun dengan Mintah," tulis Zam Ali.
Dalam 10 perlawanan yang diturunkan, Adisak yang kini berusia 32 tahun hanya dapat menjaringkan dua gol dan dua bantuan jaringan memandangkan dia terpaksa menunggu sehingga minggu kelima untuk menjaringkan gol pertamanya bersama Terengganu FC.
Bagaimanapun, dengan dia mempunyai kebolehan untuk menghidangkan peluang kepada rakan sepasukan, penyokong Sang Penyu terus mengharapkan agar dia dikekalkan untuk semusim lagi.
Pemain berkenaan dijangka akan kembali ke dalam skuad Sang Penyu pada Jun selepas mengalami kecederaan sehingga memaksanya untuk disisihkan daripada skuad utama sejak penghujung musim lalu.
Bagi Mintah pula, khidmatnya terus didambakan dengan dia mengetuai barisan serangan untuk terus menaikkan kedudukan semasa Terengganu FC dalam carta Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram