SELANGOR FC menepati ramalan untuk mara ke separuh akhir Piala FA selepas menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Sabtu.
Pasukan tuan rumah mendapat gol seawal minit pertama selepas Safuwan Baharudin menanduk bola ketika penjaga gol Selangor, Khairul Azhan masih belum dalam keadaan cukup bersedia.
Bagaikan tersentak, pemain muda Selangor FC, Mukhairi Ajmal membalas serangan dalam tempoh kurang seminit untuk menyamakan kedudukan 1-1 antara kedua-dua pasukan.
Safuwan menggegarkan gawang Selangor FC seawal minit pertama perlawanan. — MFL
Perlawanan berlangsung sengit dengan gawang NSFC hampir-hampir dibolosi dua kali menerusi jaringan Ayron yang dikira ofsaid dan rembatan Faisal Halim yang sekadar menggegar palang.
Keputusan seri itu terikat hingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, perlawanan seimbang antara kedua-dua pasukan sehinggalah jaringan import Merah Kuning, Yohandry Orozco pada minit ke-60 mengubah kedudukan.
Orozco terus melebarkan jaringan pada minit ke-87 apabila merembat kencang bola dari luar kotak penalti untuk memastikan kemaraan Selangor ke saingan separuh akhir Piala FA.
Mukhairi menyamakan kedudukan pada minit ke-2 perlawanan. — MFL
Rata-rata penyokong Negeri Sembilan berasakan kelemahan pasukan antara lain disebabkan oleh bahagian pertahanan yang kurang ampuh ekoran ketiadaan Herold Goulon.
Azizi Azmi berasakan, ketiadaan import dari Perancis ekoran kecederaan yang dialami amat dirasai sehingga menyaksikan pertahanan NSFC mudah bolos walaupun Safuwan dan Tommy Mawat beraksi cukup cemerlang.
"Susah jugak Goulon tak ada tapi nasib Safuwan perform malam ini. Defend tanpa Goulon memang payah," katanya.
Di sebalik kekalahan itu, ada juga beberapa pemain NSFC lain mendapat pujian kerana persembahan dan komitmen 100 peratus yang diberikan antaranya Hasbullah Abu Bakar dan Casagrande selain penjaga gol, Sikh Izhan.
"Kita kena terima realiti yang Selangor ini level dia lain. Pasukan nombor dua Liga Super. Kita pula kekurangan pemain import untuk kuatkan pasukan," ujar Kamaruddin Udin pula.
Terdahulu, Terengganu FC menjadi pasukan pertama menempah tiket ke separuh akhir Piala FA selepas menewaskan Kelantan FC.
Selangor dijangka berdepan pasukan pilihan, Johor Darul Takzim yang disebut-sebut mudah menumbangkan Penang FC dalam penentuan semifinalis Piala FA pada Ahad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram