SEPANJANG 20 tahun mengendalikan kelab, Frank Bernhardt mengakui bahawa mengendalikan Kelantan FC merupakan cabaran terbesar kerana mengalami isu yang melibatkan pihak pengurusan dan barisan pemain.
Jurulatih The Red Warriors (TRW) itu berdepan tugas berat ketika pasukannya terpaksa menghadapi lima kekalahan berturut-turut dan ditundukkan oleh The Cops di laman sendiri dalam saingan Liga Super.
Pemilik Kelantan, Norizam Tukiman menetapkan indeks prestasi utama (KPI) untuk Bernhardt agar memberikan kemenangan kepada pasukan tersebut memandangkan sering mengalami kekalahan.
Bukan itu sahaja, Norizam turut menahan 50 peratus daripada gaji pemain disebabkan prestasi kurang cemerlang yang dipamerkan pasukan itu.
Namun begitu, pengendali TRW itu tetap tenang dalam menghadapi segala cabaran ketika bersama kelab tersebut.
Hal ini kerana, dia berhasrat untuk membawa Kelantan ke peringkat yang lebih tinggi dalam saingan Piala FA.
“Kami berada di suku akhir Piala FA, jadi kami akan berjuang dan membuat kejutan.
“Saya mengambil alih pasukan yang mempunyai personaliti yang baik. Tetapi kecergasan, kekuatan dan beberapa kemahiran asas masih kurang, masalah yang sepatutnya diselesaikan semasa pramusim iaitu sebelum saya mengambil alih sebagai jurulatih.
“Menentang Terengganu FC (TFC), kami perlu lakukan yang terbaik selagi kami mampu. Permainan Piala FA adalah berbeza dan kami mempunyai peluang untuk memberikan saingan.
“Selama 20 tahun saya melatih, saya tidak pernah berdepan cabaran sebegini.
“Tetapi saya tidak berasa terlalu tertekan kerana apabila saya mengambil alih, beberapa pemain import yang lebih baik telah berpindah," kata bekas jurulatih UiTM itu.
Antara pemain berkualiti yang berpindah apabila Bernhardt mengambil alih TRW ialah pemain antarabangsa Filipina Carli De Murga dan Christian Rontini.
“Jika saya mempunyai pilihan untuk memilih pemain, mungkin lebih banyak masa persediaan untuk mengambil alih pasukan yang lebih berkualiti dan saya akan berada dalam situasi yang berbeza.
“Tetapi, saya bertanggungjawab sepenuhnya sekarang sebagai jurulatih," katanya.
Kelantan FC bakal menentang TFC dalam pertembungan suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada Sabtu. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram