HARAPAN Sabah FC untuk mara ke separuh akhir Piala FA akhirnya terkubur di laman sendiri apabila tewas kepada KL City FC 1-2 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Ahad.
Sabah FC terlebih dulu membuka tirai perlawanan pada babak pertama apabila berjaya menjaringkan gol pertama pada minit keenam hasil sepakan penalti pemain jersi nombor 4, Gabriel Peres menjengah gawang lawan.
Kedua-dua pasukan dilihat saling berbalas serangan untuk menjaringkan gol, namun KL City FC dilihat lebih mengasak beberapa percubaan berbahaya yang berjaya ditepis oleh penjaga gol tuan rumah, Khairul Fahmi Che Mat.
Namun, gol The Rhinos akhirnya dibolosi oleh pemain tengah The City Boys, Romel Oswaldo Morales Ramírez menerusi jaringan gol penyamaan pada minit ke-29.
Sabah FC terus berputih mata apabila pemain tengah pasukan ibu kota, T. Saravanan menjaringkan gol kemenangan bagi pasukannya pada minit ke-43 menjadikan ia penyudah berkualiti sehingga wisel penamat ditiupkan.
Sabah FC tewas 1-2 ketika menentang KL City FC di peringkat suku akhir Piala FA pada Ahad. — Facebook/Malaysian Football League
Sementara itu, para peminat bola sepak tempatan menyifatkan kekalagan The Rhinos dalam perlawanan itu ibarat karma yang menghantui pasukan dari Negeri Di Bawah Bayu itu.
"Aku pun hairan dari dulu sampai sekarang (asalkan bertemu) KL City sahaja, Sabah FC susah mahu menang, balik-balik kalah," kata Zamm Head Hunter.
Bukan itu sahaja, ada yang menyifatkan strategi taktikal 3-4-3 yang diatur oleh pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee sebagai lapuk dan mudah dibaca oleh pihak lawan.
"Kecewa berapa game sudah main begini, semakin merudum sebenarnya.
"Mungkin taktikal dan gameplay Kim Swee sudah basi, mudah dibaca team lawan. Seumur (hidup) guna 3-4-3," kata Roy Airen Ry.
"Kim Swee cuba guna formasi lain. 3-4-3 kena counter 3-3-4, taktikal kau sudah dibaca pihak lawan,, dari tahun lalu 3-4-3 saja," kata Jackey Philip. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,