‘Pembeli’ 80kg raja buah di Kulai rupanya ada 10 rekod jenayah


  • 112
  • Ahad, 28 Mei 2023

Polis menemui sebuah kenderaan pikap berisi durian seberat 80kg yang dicuri oleh suspek. — IPK Kluang

TINDAKAN licik seorang lelaki yang mencuri 80 kilogram durian daripada seorang peniaga di Jalan Kota Tinggi-Kluang, Kluang, Johor pada Jumaat lalu terbongkar apabila suspek berjaya ditahan pihak polis pada tengah malam Ahad.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, suspek berumur dalam lingkungan 40-an ditahan bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda dengan muatan durian yang dicurinya di Jalan Taman Desa Baiduri, Kulai, Johor kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati peniaga durian berusia 38 tahun itu memaklumkan individu terbabit datang ke gerainya sebelum membuat tawaran untuk membeli semua duriannya kira-kira pukul 5.30 petang pada Jumaat.

"Selepas membuat rundingan dengan pemilik sebenar gerai, jualan dipersetujui dan proses dilakukan menimbang semua buah sebelum dimuat naik atas kenderaan pikap yang digunakan suspek.

"Bagaimanapun, selepas semua proses hampir selesai dan jumlah jualan bernilai RM2,500 dinyatakan, suspek terus masuk dalam kenderaan dan meninggalkan pengadu tanpa membuat sebarang bayaran," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, Bahrin turut memaklumkan hasil semakan mendapati suspek mempunyai 10 rekod jenayah iaitu empat berkaitan jenayah dan selebihnya kes dadah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Siasatan masih dijalankan dan suspek ditahan reman selama empat hari hingga Rabu," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram