ANAK syarikat milik penuh Star Media Group (SMG), CarSifu menjalinkan kerjasama dengan Persekutuan Persatuan-Persatuan Syarikat Motor Dan Kredit Malaysia (FMCCAM) untuk meningkatkan tawaran unik mereka menyediakan lebih banyak pilihan kepada pengguna untuk membeli kereta terpakai.
Memorandum Persefahaman (MoU) itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SMG, Alex Yeow dan Setiausaha Agung Kehormat FMCCAM, Khoo Kah Jin sambil disaksikan Presiden FMCCAM, Datuk Tony Khor dan Pengurus Besar Kanan SMG, Chung Eng Lee. Pemeteraian itu juga disaksikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Setiausaha Politik kepada Menteri Dalam Negeri, Ismail Johari Kassim.
Menurut Yeow, melalui kerjasama ini, CarSifu menyasarkan untuk menjadi panduan pembelian yang muktamad dalam industri automotif, meningkatkan pengalaman pengguna melalui data dan teknologi sambil membina kepercayaan di kalangan pelanggan dan pengedar kereta.
“Etos SMG sebagai sumber berita dan maklumat yang dipercayai, ia juga jelas dalam pelbagai platform dan produk kami, manakala FMCCAM telah lama menjadi suara diyakini sebagai pengedar kenderaan bermotor bebas Malaysia.
“Kerjasama ini akan menyediakan peniaga berdaftar di bawah FMCCAM dengan platform penyenaraian yang dipercayai supaya mereka dapat meluaskan jangkauan lebih ramai pengguna,” katanya.
Yeow berkata, FMCCAM mempunyai lebih 5,000 pengedar di seluruh negara dan ia sekali gus memberi banyak pilihan kepada pengguna untuk membeli kenderaan tersebut.
Oleh itu kerjasama antara SMG dengan FMCCAM dapat mengukuhkan kepercayaan antara penjual dan pembeli serta memenuhi keperluan masing-masing,” katanya.
Chow (berdiri, keempat dari kiri), Ismail Johari (berdiri, keempat dari kanan), Chung (duduk, berwarna merah jambu) dan Datuk Khor (duduk, pertama dari kanan) menyaksikan pemeteraian MOU antara Yeow dan Khoo.
FMCCAM yang ditubuhkan pada 1979 memberi perhatian teliti untuk menyemai keyakinan kepada pembeli bagi memiliki kenderaan terpakai, serta melindungi pengedar kenderaan kategori itu daripada risiko penggunaannya.
Kata Khor, kerjasama antara CarSifu dan FMCCAM pada saat ini sangat sesuai kerana pasaran kereta terpakai bergerak ke arah yang menarik.
Beliau turut teruja untuk memperkenalkan platform hasil kerjasama dengan CarSifu kepada pengedar kereta FMCCAM bagi membolehkan mereka meluaskan pasaran kereta terpakai dan menawarkan perkhidmatan menerusi urus niaga itu.
Tambahnya, pelanggan turut diberi jaminan pengalaman pembelian yang meyakinkan menerusi platform CarSifu dan pengedar berdaftar FMCCAM.
“Kami berharap kerjasama ini dapat meningkatkan perkhidmatan kami dan memacu pengalaman terbaik kedua-dua pihak antara peniaga dan pelanggan,” katanya pada majlis sambutan ulang tahun ke-45 FMCCAM di Hotel Berjaya, Pulau Pinang pada Sabtu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram