LAPTOP Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.
SEKEMBALI daripada kekalahan terbaru 1-3 kepada Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Selasa, Datuk Lim Teong Kim memperagakan keceriaan dan lebih bersemangat daripada biasa.
Di sebalik kekalahan itu – yang ketujuh daripada 12 perlawanan buat Perak FC musim ini – ada banyak perkembangan positif yang seakan-akan tidak sabar mahu dikongsinya.
Pasukan baru yang dikendalikannya itu mampu mempertonton permainan menarik jika pemain- pemain muda asuhannya dapat menterjemah strategi permainan yang dirancang asalkan mereka berkesungguhan dan memiliki kerajinan.
Dan bahawa jika mereka mampu mengenakan tekanan ke atas barisan pertahanan lawan, mereka juga berupaya mendapatkan jaringan seperti diperoleh pemain tengah berusia 21 tahun, Harith Naem Jaineh, pada minit ke-83 perlawanan itu.
Namun, sayang semuanya sudah terlambat.
Kenyataan rasmi dari Perak FC. — Facebook/Perak FC
Perak FC pada Khamis, dalam kenyataan seringkas satu perenggan, mengumumkan Teong Kim tidak lagi bersama pasukan Liga Super itu berkuat kuasa serta-merta dan Yusri Che Lah akan mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih sementara.
Soalan pertama yang harus ditanya ialah apakah pengurusan PFC sudah berubah pendirian daripada sebelumnya menyokong falsafah bola sepak yang mahu diterapkan bekas penolong jurulatih skuad muda Bayern Munich itu?
Kedua, apakah pengurusan PFC sudah hilang kesabaran dengan rentetan kekalahan yang dialami di sebalik sebelumnya mempertahankan Teong Kim agar diberi masa mengikut tempoh kontrak dua tahunnya untuk menghasilkan keputusan?
Atau ketiga, apakah pengurusan PFC menurutkan tekanan penyokong yang mahukan kejayaan segera tanpa melihat kepada proses yang sedang berjalan dalam pasukan?
Jika jawapan kepada ketiga-tiganya “Ya”, maka ini adalah contoh terbaru pengurusan yang tidak profesional, yang tidak berpegang kepada janji, serta tergamak memusatkan segala kesalahan kepada seorang jurulatih, hanya untuk mengelak daripada bertanggungjawab.
Bukan Laptop Cabuk mengada-adakan ini semua. Hanya pada 3 April lalu, Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, menegaskan kelab itu bertindak profesional mengenai sebarang keputusan drastik ke atas status Teong Kim sambil menegaskan perubahan pasukan perlu berlaku dari semasa ke semasa.
"Kena beri masa kerana (proses) ini akan memakan masa yang lama. Ibaratnya kota Rom tidak dibina sehari. Jadi, tunggulah. Kontraknya adalah selama dua tahun, itulah jangka masa yang kami berikan kepadanya.
"Tapi baru beberapa bulan kita dah cari pasal, saya ingat ini tidak profesional," katanya seperti dilaporkan Nadi Arena di bawah tajuk ‘Perak FC tiada isu kredibiliti Lim Teong Kim’. Anehnya, dengan keputusan terbaru PFC itu, tiada pun perbincangan dan tiada juga sebarang alasan diberikan. Barangkali ia menepati kepercayaan bahawa pengurusan adalah bos... dan bos sentiasa betul.
Kemudian, pada Selasa lalu, tular berita di bawah tajuk ‘Tersungkur di Likas, Facebook CEO Perak FC dihujani amukan fans, muak gameplay kapten’ yang berkisar kepada komen peminat menghentam corak permainan di samping beberapa pemain, termasuk kapten, Muhamad Hafizal Alias, yang disifatkan gagal memainkan peranannya.
Yusri Che Lah kini mengambil alih tugas sebagai Ketua Jurulatih 'Interim' Perak FC. — Facebook/Perak FC
Ia seakan-akan berurutan daripada satu temu bual Laptop Cabuk pada 3 Mei yang memetik Teong Kim sebagai menghargai rangsangan pengurusan PFC yang diperolehnya dalam menerapkan falsafah bola sepak bersama Perak FC musim ini.
Dalam pada itu, dia turut mengungkapkan, “Saya tidak pernah berasa gentar untuk angkat kaki apabila tiba masanya disuruh pergi. Saya seorang jurulatih profesional dan saya tidak bercadang untuk kekal selama yang boleh dengan sebuah pasukan.
“Pada penghujungnya nanti, biarlah sejarah yang menghakimi sama ada saya sudah melakukan kerja-kerja saya dengan baik atau tidak,” katanya.
Barangkali Teong Kim sudah dapat menghidu pada waktu itu yang jodohnya dengan PFC tidak akan panjang di sebalik tangan dan kakinya terikat serta mulutnya terkunci.
Kini, Teong Kim harus amat kecewa di atas dua keadaan – sokongan pengurusan PFC itu tidak berpanjangan serta masanya disuruh pergi itu datang terlalu awal daripada tempoh kontrak dua tahunnya.
Kesebelasan utama Perak FC ia sekali gus perlawanan terakhir Teong Kim ketika menentang Sabah FC pada Selasa. — Facebook/Perak FC
Sebagai perbandingan, Terengganu FC harus lebih profesional dengan memberi surat tunjuk sebab kepada ketua jurulatihnya, Tomislav Steinbruckner, selepas lima perlawanan, yang mencetus kepada kebangkitan skuad Sang Penyu sesudah itu.
PFC, sebaliknya, mungkin tidak mahu membazirkan dakwat dengan cukup untuk merangkumkan semuanya dalam kenyataan satu perenggan.
“Pemecatan seperti ini berlaku di mana-mana,” kata ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, yang menambah: “Penyokong lazimnya tidak sabar dan mahukan kejayaan segera. Apabila mereka melihat kejayaan pasukan lain, mereka iri hati dan mula menuntut adanya korban.
“Harapan saya ialah perpisahan PFC dengan Lim dicapai atas persetujuan bersama dan Perak FC hendaklah menghormati butir-butir kontrak agar sebarang perpisahan dapat disudahi dengan cara yang terbaik buat kedua-dua pihak.”
Sehingga ini, Teong Kim menolak untuk memberi sebarang komen dan nampaknya seperti dia seorang saja yang profesional. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram