SEBELUM kemunculan Johor Darul Takzim (JDT) pada tahun 2013, kancah bola sepak tempatan pernah dikuasai oleh pasukan Kelantan FC atau lebih dikenali The Red Warriors (TRW).
Zaman kemuncak skuad Kelantan FA yang dikenali pada musim 2012 sebelum ditukarkan kepada Kelantan FC yang mana pasukan mereka memenangi treble iaitu tiga kejuaraan antaranya Liga Super dengan mengutip 60 mata, Piala FA dan Piala Malaysia.
Namun, kebanyakan pemain TRW berhijrah ke kelab lain berikutan masalah pengurusan dan tunggakan gaji pemain pada musim 2018.
Berikut merupakan barisan pemain yang berjaya membawa nama Kelantan FC digeruni suatu ketika dahulu.
1) Khairul Fahmi Che Mat
Penjaga gol terbaik negara.
Antara pemain yang turut memberi sumbangan ketika itu ialah penjaga gol negara terkenal, Khairul Fahmi Che Mat atau lebih dikenali sebagai Apek. Ramai mengetahui bahawa Apek seorang yang setia kepada kelabnya namun dijual kepada Melaka United FC pada pertengahan tahun 2018 kerana dikatakan masalah kewangan bekas pasukannya itu.
Antara pencapaian yang pernah diperolehi oleh Apek adalah pemain muda terbaik pada tahun 2010 dan penjaga gol terbaik untuk 2010 sehingga 2013.
Pemain berusia 32 tahun itu kekal bermain bersama TRW namun pada musim 2022, Apek telah dibawa masuk kelab Sabah FC oleh Datuk Ong Kim Swee (DOKS).
2) Daudsu Jamaluddin
Pemain pertahanan yang pernah menjadi tonggak utama B-22 Malaysia.
Pemain pertahanan kanan TRW yang bermain bersama TRW pada tahun 2013 namun dibawa masuk ke JDT pada musim 2014 namun tidak diberi peluang untuk bermain dalam kelab itu dan akhirnya dibawa masuk sekali lagi ke TRW pada tahun 2016 hingga 2017.
Pencapaian yang pernah dicapai oleh Daudsu adalah ketika menjadi tonggak utama pasukan Bawah 23 tahun Malaysia yang menjuarai Pesta Bola Merdeka 2007.
Namun pada tahun 2019, Daudsu bermain bersama Melaka United namun disebabkan penularan Covid-19,pemain berasal kelahiran Kelantan itu tidak ditawarkan di mana-mana kelab dan kini bergiat aktif dalam dunia e-sukan iaitu aktiviti bermain permainan video atau streamer.
3) Nik Shahrul Azim Abdul Halim
Nik Shahrul yang bermain sebagai pertahanan.
Pemain muda pertahanan kiri yang setia ketika musim treble sehingga musim 2018 walaupun pada tahun 2017 sempat dipinjamkan kepada ke pasukan Negeri Sembilan FC dan berpindah ke PKNS musim 2018-2019.
Selain itu, dia juga merupakan kapten dan sebahagian dari pasukan yang memenangi Piala Presiden Malaysia 2010. Walaupun masih muda,dia diberikan tanggungjawab untuk bermain sebagai pertahanan bersama Obinna Nwaneri pada musim Liga Super 2012.
Pada tahun 2020 pula, Nik Shahrul bermain bersama Kuala Lumpur City (KL City FC).
4) Subramaniam Sooryapparad
Subramaniam pernah membuat penampilan dalam kejohanan Sukan SEA 2007.
Pertahanan tengah TRW yang setia bersama kelabnya sehingga ditawarkan gaji yang seimbang dan berhijrah ke JDT pada tahun 2014 namun tidak diberikan peluang untuk beraksi dan kembali ke Kelantan FC pada tahun 2017.
Bekas pemain berusia 38 tahun itu bermain bersama kelab KL City FC pada musim 2020 namun usia yang tua boleh dikatakan sebagai penghujung karier sebagai pemain.
Subramaniam membuat penampilan dalam kejohanan Sukan SEA 2007 sebagai ketua pasukan Malaysia walaupun gagal membawa pulang sebarang pingat buat kali pertama sejak 1999.
5) Obinna Nwaneri
Peledak berbisa TRW.
Pemain pertahanan tengah bermain bersama TRW pada musim 2014 dan berhijrah ke pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) musim 2015 namun tidak mendapat minit permainan dan bermain bersama Perlis musim 2016.
Pemain berusia 38 tahun itu tidak mendapat tempat berikutan faktor umur.
Peledak berbisa kelahiran Nigeria itu membantu Kelantan FC meledak sembilan gol dalam 81 penampilan musim 2012.
6) Mohd Badhri Mohd Radzi
Peledak dan penyerang berbisa zaman treble.
Pemain tengah TRW yang digelar sebagai kapten marvel atau dikenali sebagai Piya. Seperti yang diketahui Piya seorang yang sangat setia kepada pasukannya tetapi disebabkan masalah pengurusan Kelantan FC, dia akhirnya berhijrah ke pasukan Perlis musim 2019.
Namun begitu, kemelut isu gaji pasukan Perlis menyebabkan ramai pemain menampilkan prestasi kurang cemerlang sebelum perlawanan berlangsung.
Pemain kelahiran Kelantan yang terkenal dengan kemahiran sepakan percuma itu masih bermain bersama Kelantan United FC musim 2019.
Peledak berbisa itu merekodkan 47 jaringan gol dalam 100 penampilan ketika bersama Kelantan FC musim 2007 hingga 2012 dan 15 gol dalam 34 kemunculan musim 2004-2005.
7) Mohd Shakir Shaari
Pernah meledak 44 gol dalam 108 penampilan.
Pasangan duo Piya itu pernah berhijrah ke pasukan JDT namun tidak mendapat tempat sebagai skuad utama tetapi menghabiskan karier bersama JDT II sebagai kapten.
Pemain berusia 34 tahun itu menggunakan pengalaman yang diperolehinya sepanjang bergelar pemain dengan menjadi salah seorang jurulatih dalam skuad Harimau Selatan.
Antara pencapaian yang pernah direkodkan oleh pemain kelahiran Kelantan itu adalah meledak 44 gol dalam 108 penampilan musim 2010 sehingga 2013.
8) Mohd Nurul Azwan Roya
Pemain sayap kanan TRW.
Kelincahan pemain sayap kanan TRW antara pemain yang terawal berhijrah ke JDT ketika revolusi kelab selatan tanah air itu pada 2013.
Anak jati Kelantan itu pernah merekodkan 10 jaringan dalam 39 penampilan ketika bersama Kelantan FC.
Bagai sirih pulang ke gangang, Azwan memulakan kariernya ketika bersama Johor FA pada 2005 sebelum disunting Kelantan FA pada 2011 dan kembali beraksi bersama JDT musim 2013.
Namun, dia tidak mendapat tempat di JDT lalu dilepaskan kepada pasukan PDRM FC musim 2014 dan 2016 kembali ke kelab JDT II dan selepas itu 'hilang' dalam dunia bola sepak.
9) Mohd Nor Farhan Muhammad
Farhan mempunyai akademi bola sepak peribadinya.
Farhan bermain bersama Kelantan pada tahun 2012 dan 2013 dengan mencetak 12 gol dalam 43 penampilan namun pertengahan musim 2014, pemain sayap kiri berhijrah ke pasukan Terengganu tetapi kembali ke kelab Kelantan musim 2015 sehingga musim 2018.
Farhan juga sempat bermain bersama PDRM musim 2019 di samping menguruskan akademi bola sepak miliknya iaitu Nor Farhan Football Academy di Terengganu.
Pemain berusia 39 tahun itu dikhabarkan tidak bermain di mana-mana kelab tempatan dan hanya fokus kepada akademi miliknya.
10) Norshahrul Idlan Talaha
Penyerang berbisa Kelantan FC, Mat Yo.
Penyerang berbisa Kelantan FC merupakan antara pemain terawal yang mengikuti revolusi JDT tetapi khidmatnya hanya bertahan sehingga 2014 dan banyak berhijrah ke pasukan lain seperti Terengganu FC (2015), Pahang FC (2018) dan sempat mencari pengalaman bersama kelab luar negara iaitu BG Pathum United (2020) namun tidak berjaya menembusi skuad utama kerana faktor umur.
Pemain berusia 37 tahun itu kini difahamkan beraksi dalam liga amatur meskipun masih belum mengumumkan persaraannya secara rasmi.
Norshahrul yang juga peledak berbisa merekodkan 88 jaringan gol dalam 70 penampilan ketika bersama Kelantan.
11) Mohammed Ghaddar
Penyerang sensasi, Ghaddar.
Selepas cemerlang bersama pasukan Kelantan FC, penyerang sensasi liga bola sepak tanah air memulakan karier bersama Felda United musim 2013 tetapi kembali semula ke pasukan TRW musim 2014.
Tidak lama selepas itu, pemain kelahiran Lubnan berhijrah ke Liga Iraq dan Jordan namun 2017 kembali ke Malaysia untuk bermain bersama Kelantan FC dan menyumbang kudrat selama dua musim bersama JDT II.
Selepas 11 tahun berkelana ke luar negara, Ghaddar kembali ke negara kelahirannya dan bermain bersama kelab Nejmeh tahun 2020 di usia 37.
Namun begitu, sumbangan Ghaddar sebagai penyerang berbisa dalam Kelantan pernah mencatatkan 19 gol dalam 24 penampilan musim 2012 dan musim 2014 mencetak empat jaringan dengan 14 kemunculan.
12) Indra Putra Mahyudin
Watak penting dalam kegemilangan TRW.
Antara watak penting dalam zaman kegemilangan treble Kelantan dan pemain senior yang masih aktif bermain bola sepak.
Pada musim 2014, Indra Putra berhijrah ke Felda United dan kembali bersama Kelantan FC pada dua musim berikutnya dengan kini masih aktif beraksi dalam skuad Kelantan United pada usia 42 tahun.
Indra Putra mencatatkan 13 gol dalam 47 penampilan ketika bersama Kelantan musim 2012 dan tahun 2016 hingga 2017 mencetak lima gol dalam 38 kemunculan.
Di samping itu, hampir kesemua pemain Kelantan FC pernah merasai bermain bersama pasukan yang digeruni iaitu JDT namun tidak dapat menunjukkan prestasi cemerlang apabila tidak tersenarai sebagai skuad utama pasukan Harimau Selatan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram