'Kenapa salah Devan?' Fans Jang Hobin terus positif walau ketandusan 3 mata


  • Podium
  • Khamis, 25 Mei 2023

Sebahagian aksi NSFC menentang Kelantan United pada Selasa. — Facebook/MFL

PERTEMBUNGAN antara Negeri Sembilan FC (NSFC) dan Kelantan United FC dalam aksi Liga Super 2023 mengejutkan para penyokong setia bola sepak tanah air apabila Kijang Hijau memberi tekanan kepada skuad Jang Hobin sebelum kedua-dua kelab terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata selepas terikat 3-3 pada Selasa.

Aksi menarik yang dipamerkan oleh kedua pasukan itu memberikan sinar kepada para penyokong terutamanya Sang Kijang Merah apabila berjaya memberikan tekanan kepada pihak lawan.

Corak permainan yang ditampilkan oleh Kelantan United FC sememangnya berbeza daripada perlawanan sebelum ini kerana mereka gagal meraih sebarang kemenangan, merekodkan dua seri dan sembilan kekalahan.

Pelawat menguasai permainan pada awal perlawanan dengan dua jaringan sebelum NSFC mengejar untuk meletakkan kedudukan 2-1.

Memasuki babak kedua, pasukan tuan rumah akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-71.

Begitupun, pemain senior Kelantan United, Indra Putra Mahayuddin menjarakkan kedudukan pada 10 minit terakhir perlawanan selepas menyempurnakan sepakan penalti. Sebelum perlawanan melabuhkan tirai, pasukan tuan rumah mengejutkan pelawat menerusi ledakan gol pada saat-saat akhir.

WhatsApp Image 2023-05-24 at 22.29.33

Pemain NSFC meraikan gol dalam perlawanan menentang Kelantan United pada Selasa. — Facebook/ MFL

Jika dilihat anak-anak buah K.Devan sukar mendapat rentak walaupun bermain di laman sendiri hingga perkara tersebut mengundang kritikan dalam kalangan penyokong.

Namun begitu, menerusi satu perkongsian hantaran daripada penyokong setia Jang Hobin, Mohammad Hazrin Hamzah menyokong keputusan pengendali NSFC itu.

"Tak faham aku dengan penyokong yang marahkan Devan dan Mahali Jasuli. Suruh masukkan Sean Selvaraj ketika separuh masa kedua tapi bila sudah masuk Sean lagi teruk permainan berbanding Mahali.

"Penyokong kalau tak tahu taktikal tak payah bersuara, bagi Devan buat kerja. Ada juga yang marah Devan masukkan Izzudin Roslan lima minit terakhir.

"Come on lah, team tengah nak cari gol memang tak sesuai lah Devan masukkan Izzudin dan keluarkan Anas Rahmat," katanya.

Komen yang ditinggalkan itu menunjukkan meskipun skuad The Jangs sekadar meraih satu mata hasil keputusan seri, masih ada penyokong yang positif dengan persembahan skuad bimbingan Devan.

"Siapa tak sayang pasukan, kalau boleh setiap kali game nak menang tapi kita ukur badan sendirilah dengan bajet dan import sedia ada.

"Patut ke kita mendabik dada sebab rata-rata kita gunakan pemain tempatan pada setiap game, mana mampu dapat kalahkan pasukan bajet besar dan main dengan lima import.

"Penyokong pun hanya dapat tengok pemain dalam 90 minit setiap minggu dan menilai pemain dalam tempoh itu. Sebenarnya, jurulatih lebih arif dan faham pemainnya. #devanstay," ulas Mohamad Fazly Mohd Yusuf.

Begitupun, rata-rata penyokong tetap mengharapkan agar skuad Negeri Sembilan FC dapat menambah baik prestasi untuk menyaingi kedudukan pada musim lalu yang menyaksikan pasukan itu berada di tempat keempat liga.

Walaupun kedua-dua pasukan tersebut hanya sekadar berkongsi mata di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Negeri Sembilan itu, namun ia cukup memberikan cabaran kepada pasukan tuan rumah dan lawan.

Negeri Sembilan kini menghuni tangga ketujuh liga dengan 17 mata manakala Kelantan United kekal di tangga tercorot dengan kutipan tiga mata setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram