PERTEMBUNGAN sengit antara dua pasukan yang berada dalam kedudukan lima carta Liga Super terbaik iaitu Selangor FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menimbulkan banyak kontroversi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Rabu.
Skuad KDA FC terpaksa berputih mata selepas tewas di 2-3 tangan Gergasi Merah.
Pengendali KDA FC,Nafuzi Zain amat kecewa dengan keputusan perlawanan tersebut namun tetap berbangga dengan prestasi cemerlang yang dipamerkan oleh anak buahnya selama bermain 90 minit walaupun kekurangan pemain atas padang.
Namun begitu, antara kontroversi yang hangat diperkatakan iaitu isu mengenai gol kemenangan Gergasi Merah yang dikatakan sebagai ofsaid.
Menerusi satu perkongsian video daripada laman Facebook Hijau Kuning Tetap Dihatiku mengatakan pengulas perlawanan turut merasakan gol pada minit ke-78 tersebut adalah ofsaid.
"Saya 50/50 nak katakan bola itu offside atau tidak," kata pengulas kedua perlawanan tersebut.
Hal ini kerana, dalam video itu menunjukkan kedudukan pemain Selangor, Noor Al-Rawabdeh didakwa melepasi pemain pertahanan KDA FC selepas Yohandry Orozco mengambil sepakan percuma tersebut.
Dakwaan itu terus disokong oleh beberapa penyokong Sang Kenari yang turut tidak berpuas hati dengan gol kemenangan tersebut yang seolah-olah tindakan pengadil perlawanan, Nazmi Nasaruddin adalah berat sebelah.
"Biasa lah, Selangor kott, mesti lah referee tolong. Kita kalah bermaruah takpa jangan menang sebab referee tolong, buat malu ja," kata Muhammadnoor Firdaus.
"Referee dan pengulas orang belah Selatan, semuanya masuk belah Selatan lah, orang Utara jadi mangsa depa, selalu macam itu lah," kata Abd Aziz Kadir Aziz.
"Offside kah tidak itu kita tidak pasti, yang pasti freekick dan kad merah itu adalah tidak sepatutnya dan itulah punca sebenar kesalahan pengadil untuk gol ketiga, betul cakap pengulas legend Shauki Kahar permainan ini selayakanya adil adalah seri 2-2. Tengok game pun sama level," kata Mohd Hafiz Md Din.
KDA FC kini berada pada kedudukan kelima Liga Super 2023 dengan mengutip 22 mata selepas kekalahan tersebut dan Selangor yang enam mata di depan kekal tangga kedua carta. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram