Arkitek Sang Kenari luah rasa teruja walau kalah dengan Selangor, mahu bangkit di Alor Setar


  • Podium
  • Jumaat, 26 Mei 2023

Aksi menarik barisan pemain Sang Kenari ketika menentang Gergasi Merah. — Facebook/ KDA FC

PERLAWANAN antara Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Selangor FC berlangsung dengan penuh dramatik pada aksi Liga Super 2023 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Rabu.

Pada babak pertama perlawanan, kedua pasukan itu dilihat sengit memberikan tekanan untuk memastikan gawang mereka tidak dibolosi dengan mudah.

Saingan sengit yang dipamerkan oleh anak buah kendalian Tan Cheng Hoe dilihat tidak mahu membenarkan Sang Kenari untuk menghasilkan jaringan.

Walaupun asakan demi asakan dihasilkan oleh tuan rumah namun pasukan pelawat berjaya mengawal keadaan dengan kejutan daripada pemain import, Amirbek Juraboev yang dilihat bijak menyudahkan peluang menerusi sepakan sudut pada minit keenam.

WhatsApp Image 2023-05-26 at 17.38.11

Aksi Amirbek yang terus diasak oleh barisan pemain Selangor FC. — Facebook/ KDA FC

Walaupun jaringan tersebut adalah gol pertama dalam Liga Malaysia namun pemain kelahiran Tajikistan itu tetap berbangga dengan pencapaian yang dihasilkan untuk skuad KDA FC.

"Sudah pasti saya gembira kerana itu merupakan gol pertama dalam Liga Malaysia dan untuk Kedah," katanya kepada Majoriti.

Arkitek Sang Kenari itu turut meluahkan perasaan bangga terhadap skuadnya dalam aksi menentang Gergasi Merah dan akan bangkit semula pada perlawanan seterusnya yang dijadualkan bakal berdepan dengan Sabah FC.

"Kami telah cuba sedaya upaya dan saya rasa kami bermain dengan sangat baik. Kami akan cuba yang terbaik untuk menang perlawanan seterusnya menentang Sabah," jelasnya.

Selain itu, pemain berketinggian 1.80 meter itu turut mengongsikan pengalaman sepanjang berada dalam skuad kendalian Nafuzi Zain.

"Kami mempunyai latihan yang mencukupi dan pengalaman di beberapa tempat namun saya rasa kami bermain dengan bagus tapi kami kalah dalam perlawanan menentang Selangor," kongsinya.

Skuad Sang Kenari dijadualkan untuk menentang Sabah FC pada perlawanan ke-13 Liga Super yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada 2 Jun depan.

KDA FC kini berada pada kedudukan kelima Liga Super 2023 dengan mengutip 22 mata selepas kekalahan tersebut dan Selangor yang enam mata di depan kekal tangga kedua carta. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram