TUGAS utama seorang penyerang dalam dunia bola sepak adalah untuk menyudahkan segala peluang yang dihidangkan rakan sepasukan sepanjang 90 minit permainan.
Meskipun terdapat situasi yang mana mereka sedikit bergelut di hadapan gawang lawan, mereka sering turun dengan aura yang dapat memberi tekanan kepada pihak lawan.
Bagaimanapun, masih terdapat keadaan sulit apabila mereka sendiri berdepan cabaran besar untuk menjaringkan gol buat pasukan sendiri.
Situasi yang juga dikenali sebagai 'kemarau gol' itu sememangnya sesuatu yang akan memberi impak negatif ke atas keyakinan mereka di atas padang.
Malah, hal tersebut juga akan menjadikan penyokong kurang senang dengan kehadiran mereka setiap kali perlawanan berlangsung, lebih-lebih lagi sekiranya nama penyerang itu muncul dalam kesebelasan utama.
Keadaan tersebut juga bukanlah sesuatu yang asing dalam landskap bola sepak tempatan memandangkan beberapa penyerang berdepan kesukaran untuk mencetak gol peribadi.
Musim ini sahaja, masih terdapat segelintir penggempur belum mendapatkan jaringan meskipun jadual perlawanan liga 2023 sudah semakin hampir tiba di pertengahan jalan.
Berikut merupakan lima peledak yang masih gagal menjaringkan gol sendiri buat pasukan masing-masing dalam saingan Liga Super.
1. Syafiq Ahmad (JDT)
Sejak awal musim lalu, nasib penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad bersama Johor Darul Takzim (JDT) terus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air.
Ia berikutan kepulangan bekas penyerang kelahiran Brazil, Diogo Luis Santo yang dikatakan bakal digandingkan dengan pemenang Kasut Emas Liga Super 2022, Bergson da Silva.
Jangkaan tersebut seolah-olah tepat memandangkan pemain berusia 27 tahun itu terus diletakkan di bangku simpanan dalam majoriti aksi Liga Super.
Masa depan Syafiq Ahmad di JDT terus mencetuskan tanda tanya. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Hal itu jelas memberi impak terhadap sentuhan serta sumbangannya di hadapan pintu gol dengan penyerang kelahiran George Town, Penang tersebut masih belum menjaringkan sebarang gol.
Rekod tersebut sememangnya cukup merisaukan memandangkan skuad Harimau Selatan cukup tajam selepas menjaringkan 49 gol dalam hanya 12 perlawanan.
Lebih menggusarkan lagi, statistik Syafiq itu pasti akan menggugat kedudukannya dalam skuad kebangsaan yang bakal berentap dalam aksi Piala Asia 2024.
2. Nuha Marong (Kelantan FC)
Kehadiran penyerang kebangsaan Gambia, Nuha Marong menerima respons cukup baik daripada segelintir besar penyokong Kelantan FC melihat kepada rekodnya sebelum ini.
Di samping memiliki ketinggian mencecah 1.91 meter, pemain berkenaan memiliki tubuh badan yang sasa bagi membantunya mengekang asakan pihak lawan.
Namun, sejak permulaan musim lalu, Nuha terus mengecewakan selepas gerakan dan hantarannya sering merugikan kuad The Red Warriors (TRW).
Nuha tiba dengan sambutan cukup memberangsangkan. — Facebook/TRW Kelantan FC
Selepas 12 perlawanan, pemain berusia 29 tahun berkenaan masih gagal mencari jaringan peribadi dalam Liga Super, sekali gus meletakkan Kelantan FC di kedudukan kedua tercorot.
Walaupun dia pernah menggegarkan gawang lawan dalam aksi 16 pasukan Piala FA, ia masih belum memberi kepuasan buat pengikut setia kelab Pantai Timur berkenaan.
Jadi, dengan jendela perpindahan kedua Liga Malaysia dijangka dibuka pada Julai, masa depannya pasti menjadi topik perbualan hangat.
3. Christian Obiozor (Perak FC)
Isu luar padang jelas memberi kesan terhadap skuad The Bos Gaurus (TBG) yang kini berada di kedudukan ke-11 Liga Super selepas 12 perlawanan.
Kemelut tersebut berakhir dengan keputusan pihak pengurusan untuk menggugurkan ketua jurulatih, Datuk Lim Teong Kim secara serta merta dan digantikan dengan Yusri Che Lah.
Bagi penyokong, ia merupakan satu tindakan tidak adil untuk menunding jari ke arah pengendali berusia 59 tahun ke atas posisi mereka ketika ini.
Obiozor kini diletakkan dalam skuad muda TBG yang beraksi dalam Piala MFL. — Facebook/Perak FC
Ini kerana mereka berpendapat pemain, termasuk import perlu bertindak lebih cemerlang di atas padang dengan tidak terlalu mudah mensia-siakan kesemua peluang yang terhidang.
Antara yang sering disebut-sebut ialah penyerang kelahiran Nigeria, Christian Obiozor dengan kelibatnya masih belum mengukir sebarang senyuman di wajah penyokong skuad TBG.
Meskipun Hadi Fayyadh Abd Razak juga berdepan situasi sama, status pemain bertubuh sasa itu yang merupakan seorang import meningkatkan lagi rasa kurang senang berkenaan.
4. Haqimi Azim Rosli (Kuala Lumpur City)
Penyerang muda negara, Haqimi Azim Rosli sering dilabel sebagai antara peledak terbaik kebangsaan dengan bakatnya terus bersinar ketika ini.
Di samping berpengalaman bersama skuad kebangsaan, pemain berkenaan dilihat memiliki struktur fizikal yang cukup baik untuk mengemudi barisan serangan.
Bagaimanapun, musim ini, pemain berusia 20 tahun tersebut masih belum merekodkan sebarang gol peribadi dalam Liga Super serta dalam Piala FA.
Haqimi mempunyai masa depan yang cukup baik dalam dunia bola sepak. — Facebook/Kuala Lumpur City
Antara punca di sebalik kemerosotan itu adalah kerana Haqimi jarang diberi minit permainan yang mencukupi kerana kehadiran tiga penyerang import, iaitu Romel Morales, Tchetche Kipre serta Herlison Caion.
Ia seperti akan memberi kesan terhadap peluangnya untuk bersama-sama skuad kebangsaan ke Piala Asia meskipun sebelum ini dia pernah membantu mereka ketika aksi di Piala AFF 2022.
Persoalannya, dengan jentera serangan skuad Warga Kota turut berdepan isu konsistensi, adakah kehadiran Haqimi mampu mengubah kedudukan mereka dalam liga?
5. Lucas Silva (Sri Pahang FC)
Selepas mencipta nama bersama Penang FC dengan enam gol dalam hanya 11 perlawanan, Lucas Silva memilih untuk berhijrah ke Sri Pahang FC.
Ia dilihat sebagai satu langkah yang cukup baik memandangkan skuad Tok Gajah memerlukan seorang penyerang bagi digandingkan dengan pemain kebangsaan Liberia, Kpah Sherman.
Namun, isu kecederaan dan kecergasan terus melanda penyerang kelahiran Brazil berkenaan sehingga menyebabkannya terus disisihkan daripada skuad.
Isu kecederaan menyaksikan Lucas kerap diletakkan di bangku simpanan. — Facebook/Sri Pahang FC
Setakat 12 perlawanan skuad Tok Gajah, Lucas hanya diturunkan sebanyak tiga kali yang mana boleh dikatakan sebagai punca utama dia berdepan situasi kemarau gol.
Dia sebelum ini mempunyai peluang keemasan untuk mencetak jaringan sulung dalam jersi Sri Pahang FC menerusi sepakan penalti ketika berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Bagaimanapun, sepakannya yang terlalu tinggi memaksanya untuk berusaha lebih keras bagi membolehkannya meraih gol peribadi pertama bersama skuad Tok Gajah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram