Peranan baharu Mat Don bantu pacu Terengganu kecewakan Harimau Kumbang


  • Podium
  • Khamis, 25 Mei 2023

Liridon dikatakan turun dengan semangat dan peranan berbeza di laman sendiri. — Facebook/Terengganu FC

SELEPAS bergelut untuk mendapatkan kemenangan dalam tiga aksi Liga Super, Terengganu FC akhirnya mampu menarik nafas lega selepas menundukkan Penang FC pada Rabu.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu, gol daripada Engku Nur Shakir Engku Yaacob pada minit ke-75 memastikan tiga mata milik skuad Sang Penyu.

Kemenangan tersebut meletakkan mereka di tangga ketujuh dengan hanya dua mata dibezakan berbanding pasukan di tangga lebih atas, Kuala Lumpur (KL) City FC yang mengumpul 19 mata selepas 12 perlawanan.

Walaupun ia bukanlah satu penambahbaikan yang mencukupi, ia sekurang-kurangnya meletakkan kelab Pantai Timur itu posisi lebih baik memasuki separuh kedua musim.

Pujian pastinya mula diberikan kepada kesemua 11 pemain yang diturunkan dalam aksi menentang Penang FC memandangkan kesungguhan mereka sukar untuk dipersoalkan.

348847259_987148009285004_4045353369801350342_n

Engku menjadi watak terbaik ketika Terengganu FC menumpaskan Penang FC. Facebook/Terengganu FC

Selain berjaya mencatatkan kemenangan kelima musim ini, persembahan itu boleh dianggap cukup memuaskan hati melihat kepada kejayaan anak-anak buah Tomislav Steinbruckner untuk menghentikan asakan pihak lawan terhadap kubu gol pasukan.

Namun, individu yang lebih mencuri perhatian ialah pemain tengah, Liridon Krasniqi atas kebolehannya untuk mengawal rentak permainan.

Perkara itu diluahkan penyokong tegar Terengganu FC menerusi akaun Facebook Analisis Bola Tranung yang berasakan peranan baharu diberikan buatnya membuahkan hasil.

"Satu perubahan peranan yang agak sesuai untuk dilakukan dalam perlawanan ini kepada Liridon. Tomi menggantikan tempat Habib (Haroon) iaitu No 6 dengan Liridon, bukannya (Domagoj) Pusic.

"Ia agak baik untuk Liridon bermain di situ, kerana jika Liridon diberi peranan no 8, dia tiada idea yang kreatif dan hanya banyak mencuri tugasan no 6 daripada Habib sebelum ini," katanya.

347241023_1464355677718964_7505588757496474660_n

Habib sering mencuri perhatian sebagai pemain no 6 dalam skuad Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

Dalam dunia bola sepak moden, pemain no 6 berperanan untuk mengutip bola daripada barisan pertahanan dan menggunakan kebolehannya untuk melakukan hantaran ke pihak serangan.

Bagi pemain di posisi no 8 pula, mereka yang juga dikenali sebagai perancang pasukan mempunyai skil dan kemahiran untuk melakukan umpanan.

Jadi, memandangkan kebolehan Liridon untuk membuat umpanan semakin terjejas, peranan yang diberikan pihak kejurulatihan memberikan kelebihan buat pasukan berkenaan.

Pandangan penyokong berkenaan itu juga menyaksikan rata-rata peminat setia Sang Penyu menyokong bahawa gaya permainan pemain naturalisasi kebangsaan tersebut semakin menyerlah.

"Setuju dengan ulasan admin, kualiti Liridon pada perlawanan itu memang boleh dipuji dan rasanya ia merupakan persembahan terbaiknya sepanjang musim.

"Cumanya, adalah sekali dia buat silap dalam kotak penalti lawan. Pasukan juga nampak ada penambahbaikan selepas rehat selama tiga minggu," kata Fahruzali Bin Rashid.

"Posisi Mat Don (Liridon) dah cukup sesuai, janganlah diubah pula selepas ini. Risau akan melambatkan rentak permainan dan jadikan pasukan tiada hala tuju," kata Tun Art.

Pemain tengah itu sebelum ini tiba secara pinjaman dari Johor Darul Takzim (JDT) selepas tempoh menimba pengalaman di Thailand bersama Khon Kean United pada separuh kedua musim lalu.

Sepanjang bersama skuad Sang Penyu, Liridon hanya tidak diturunkan dalam satu daripada 12 aksi Liga Super dengan satu gol dan satu bantuan jaringan dicatatkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram