Lupakan sengketa atas padang, Kim Swee bakal terima kunjungan bekas anak didik selepas aksi di Likas


  • Podium
  • Khamis, 25 Mei 2023

Wan Zack sempat bergambar dengan Kim Swee selepas aksi perlawanan Perak FC menentang Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Selasa. — Instagram/Wan Zack

HUTANG emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati.

Demikian bait peribahasa untuk menggambarkan hubungan baik di antara pemain sayap kanan Perak FC, Wan Zack Haikal Wan Noor dengan pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee.

Walaupun sudah lama tidak berada di bawah kendalian jurulatih kelahiran Melaka itu sejak 2013, beliau sentiasa menyanjungi bekas jurulatihnya yang kini berumur 52 tahun itu kerana ilmu yang dicurahkan terlalu banyak kepadanya.

Buktinya, Wan Zack sempat bertemu dengan Kim Swee selepas aksi perlawanan Perak FC menentang Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Selasa.

Beliau turut memuat naik satu hantaran di Instagram mengucapkan terima kasih kepada bekas jurulatihnya itu atas segala tunjuk ajar yang diberi.

"2007 - 2015 with this Ice Man. Bermacam pengalaman bersama beliau. Dulu dan kini tetap sama tiada beza cuma umur kami meningkat naik. This all about football and respect.

"Thanks for everything my coach Datuk Ong Kim Swee. Always remember the single thing happen in dressing room every game we play, include your hand with marker pen. I just miss this man that why I come to him take a picture, but nothing behind," katanya menerusi satu hantaran di Instagram.

1390431

Wan Zack sebelum ini pernah bermain untuk Selangor FC selama empat tahun. — Gambar hiasan/Agensi

Jika diimbau kembali awal perkenalan mereka berdua, Wan Zack merupakan anak didik kepada Kim Swee semasa berada dalam skuad Harimau Muda selepas anak kelahiran Maran, Pahang itu meninggalkan Felda United FC pada tahun 2008.

Bermain di posisi sayap kanan bagi skuad kebangsaan bawah 23 tahun itu, pasukannya berjaya memenangi Liga Perdana pada tahun 2009 sebelum beliau dipinjamkan ke kelab Slovakia, ViOn Zlaté Moravce pada 2011 selama tiga bulan.

Walaupun banyak liku dan onak duri yang dihadapi sepanjang kerjayanya sebagai pemain bola sepak, Wan Zack tidak pernah melupakan jasa dan tunjuk ajar Kim Swee sewaktu beliau mengendalikan skuad Harimau Muda.

Untuk rekod, pemain berketinggian 1.7 meter itu turut pernah mewakili beberapa kelab bola sepak seperti Ryukyu FC, Kelantan FC, dan Selangor FC sebelum bermain untuk skuad The Boss Gaurus pada tahun lalu hingga kini. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram