'Kita perlu hentikan', Rezal Zambry tuntut anak buah perbaiki kelemahan


  • Podium
  • Rabu, 24 Mei 2023

Rezal (kiri) ketika ini memegang jawatan sebagai pembantu jurulatih kepada Frank Bernhardt. — Facebook/TRW Kelantan FC

TEKANAN semakin dirasai buat Kelantan FC susulan kekalahan memalukan yang dialami ketika berdepan PDRM FC di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan pada Selasa.

Dalam aksi itu, keputusan 4-1 yang berpihak kepada skuad Sang Saka Biru menyaksikan pasukan Pantai Timur itu mengalami kekalahan kelima berturut-turut dalam Liga Super.

Lebih teruk lagi, ia menyaksikan skuad The Red Warriors (TRW) terus tersekat di tangga ke-13 Liga Super dengan hanya satu mata membezakan mereka dengan pasukan tercorot, Kelantan United.

Antara pihak yang pastinya sangat kecewa dengan keputusan tersebut ialah penyokong Kelantan FC yang mengharapkan episod gelap tersebut mampu ditamatkan secepat mungkin.

Bagaimanapun, menurut pembantu jurulatih, Rezal Zambery Yahya, kealpaan benteng pertahanan menyebabkan mereka terlalu mudah dibolosi dalam aksi berkenaan.

"Pada pandangan saya, kita masih lagi tidak menyelesaikan masalah yang dialami dalam pasukan Kelantan dan saya juga rasa, kita terlalu leka di posisi pertahanan.

"Kalau kita lihat kesemua jaringan yang diperolehi pasukan lawan, bola dimainkan di belakang pemain pertahanan. Jadi, saya rasa ini satu perkara yang perlu kita hentikan," katanya kepada Astro Arena.

Jurulatih kelahiran Johor itu sebelum ini diberi kepercayaan untuk mengendalikan Kelantan FC pada musim 2022, namun terpaksa melepaskan jawatan berkenaan berikutan isu lesen kejurulatihan.

Dia kini dilantik sebagai pembantu kepada pengendali skuad TRW, Frank Bernhardt selepas turut memegang peranan sama ketika kelab berkenaan berada di bawah bimbingan Choi Moon-sik.

Tambahnya, penambahbaikan juga perlu dilakukan dalam kalangan pemain sekiranya mereka mahu mengubah nasib memasuki separuh kedua musim Liga Super 2023.

Selepas ini, Kelantan FC akan bertandang ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu untuk berdepan skuad Sang Penyu dalam aksi suku akhir Piala FA. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram