Percaya atau tidak, 4 sebab kenapa Nafuzi patut ‘goyang’ jumpa Faisal Halim


  • Podium
  • Rabu, 24 Mei 2023

Perlawanan kali ini akan menyaksikan Faisal bertembung dengan bekas jurulatihnya, Nafuzi ketika di Terengganu FC. — Facebook/SelangorFC

PERTEMBUNGAN dua gergasi bola sepak tanah air dalam saingan Liga Super iaitu Selangor FC dan Kedah Darul Aman FC dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Rabu sememangnya ditunggu-tunggu penyokong bola sepak tanah air.

Masakan tidak, kedua-dua pasukan ketika ini hanya dibezakan dengan tiga mata yang mana Selangor FC mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri, sekali gus menjadikan perlawanan berkenaan sesuatu yang amat dinanti-nantikan semua pihak.

Selain itu, perlawanan kali ini akan menyaksikan pemain sayap skuad Gergasi Merah, Faisal Halim kembali bertentang empat mata dengan bekas jurulatihnya, Nafuzi Zain ketika di Terengganu FC.

Pada Selasa, Faisal memaklumkan agak sukar bagi dirinya untuk menghadapi perlawanan berkenaan sebab ia bagaikan menentang Nafuzi sendiri.

"Saya juga agak rapat dengan Nafuzi, kami dah lama bekerjasama sebelum ini, secara jujurnya saya rasa agak sukar kerana dia antara individu yang banyak membantu menaikkan nama saya dalam kancah bola sepak sebelum ini.

"Tetapi itulah bola sepak, sebagai pemain kita kena sentiasa profesional, saya akan berikan persembahan yang baik dan membantu pasukan untuk mendapatkan tiga mata penuh," katanya.

Namun begitu, perlawanan pada kali ini dilihat lebih memihak kepada pasukan Selangor. Hal ini kerana, skuad kendalian Tan Cheng Hoe mempunyai beberapa kelebihan apabila bermain di gelanggang sendiri.

Pada masa sama, skuad Merah Kuning juga berada dalam prestasi cemerlang dengan Faisal yang lebih dikenali sebagai Mickey meledak lima gol setakat ini.

Berikut adalah empat sebab kenapa Sang Kenari terutama Nafuzi harus waspada dengan Faisal Halim:

Faisal

Faisal sudah menjaringkan lima gol sepanjang 11 perlawanan Liga Super bersama The Red Giants pada ketika ini. — Facebook/SelangorFC

1. Prestasi cemerlang Faisal sepanjang musim

Walaupun hanya menjaringkan lima gol sepanjang 11 perlawanan Liga Super bersama The Red Giants pada ketika ini, namun pemain berasal daripada Pulau Pinang ini sememangnya dikenali sebagai pemain licik yang mampu mengucar-ngacirkan permainan pihak lawan.

Selain itu, Faisal juga seorang yang sangat lincah ketika berada di atas padang dan pengalamannya bermain bersama pemain tengah Sang Kenari, Lee Tuck dalam skuad Harimau Malaya memberi kelebihan kepada Faisal untuk mengatur serangan.

2. Taktikal Nafuzi yang sudah dijangka

1908078

Nafuzi dan Faisal meninggalkan pelbagai kenangan manis buat penyokong Terengganu FC pada musim lepas. — Bernama

Umum mengetahui, Nafuzi merupakan jurulatih kepada Faisal ketika di Terengganu FC. Kedua-dua figura itu, walaupun menggalas tugas yang berbeza pernah disanjung oleh penyokong Sang Penyu kerana keserasian mereka mengatur corak permainan yang sesuai.

Sehubungan itu, jika melihat kepada situasi ini, sudah pastinya ia memberi kelebihan kepada Faisal sendiri.

Hal ini kerana, pemain berketinggian 1.58 meter itu dijangka sudah boleh membaca taktikal yang akan digunakan oleh jurulatih berumur 44 tersebut ketika menentang Selangor FC nanti.

3. The Red Giants bermain di depan penyokong sendiri

Penyokong

Penyokong Selangor sememangnya dikenali mempunyai semangat kesukanan yang tinggi. — Facebook/SelangorFC

Sudah semestinya bermain di gelanggang sendiri akan memberi semangat kepada semua pemain pasukan Selangor FC.

Selain itu, mereka juga mempunyai kelebihan sudah biasa dengan keadaan padang MBPJ tersebut berbanding pihak lawan. Malah, stadium ini juga boleh dikatakan stadium keramat buat pemain Selangor sendiri dan tentunya mereka tidak ingin mengecewakan penyokong.

4. Masa rehat terlalu suntuk untuk pemain Sang Kenari

348247994_257407206811691_8552700713210603983_n

Barisan pemain Kedah tidak mempunyai rehat yang mengcukupi selepas menentang Kelantan FC yang berlangsung di Stadium Darul Aman di Alor Setar, Kedah Jumaat lalu. — Facebook/KDAFC

Kali terakhir skuad Hijau Kuning beraksi atas padang ialah pada Jumaat lalu ketika menentang pasukan Kelantan FC yang berlangsung di Stadium Darul Aman di Alor Setar, Kedah.

Walaupun skuad kendalian Nafuzi itu membelasah Kelantan 5-0, namun ia tidak boleh dipandang mudah kerana pasukan itu hanya mempunyai masa yang singkat untuk berlatih dan mendapatkan kecergasan terbaik.

Tambahan pula, barisan pemain Kedah tidak mempunyai rehat yang mengcukupi ia sekali gus akan menyebabkan prestasi sesetengah pasukan itu akan menurun.

Rekod pertemuan antara kedua-dua pasukan pada perlawanan Liga Super pada musim lalu menyaksikan Selangor FC menang 4-1 ke atas KDA FC pada 10 April 2022 sebelum Kedah kembali bangkit menewaskan Selangor 3-1 di laman sendiri pada 14 September 2022.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram