Tewas lagi di laman sendiri, Frank Bernhardt kini 'nyawa-nyawa ikan'


  • Podium
  • Selasa, 23 Mei 2023

Pemain Kelantan FC gagal menyekat serangan PDRM FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV pada Selasa. — Facebook/ Kelantan FC

NASIB malang Kelantan FC tidak berkesudahan apabila tewas di tangan PDRM FC 1-4 dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada Selasa.

Pertembungan antara kedua-dua pasukan itu ibarat memberi laluan mudah kepada The Cops untuk terus berada di kedudukan selesa pada babak pertama perlawanan.

Walaupun percubaan demi percubaan cuba dihasilkan oleh The Red Warriors (TRW) namun benteng pertahanan The Cops tidak membenarkan jentera serangan TRW untuk menghasilkan sebarang jaringan.

Namun, pada minit ke-15, The Cops membuat serangan balik terhadap TRW dan membolehkan pemain tengah, Marcus Macauley menggunakan peluang untuk membuka tirai jaringan buat PDRM FC.

WhatsApp Image 2023-05-23 at 23.47.28

PDRM FC berjaya mengutip tiga mata penuh selepas menewaskan Kelantan 1-4. — Facebook/ Kelantan FC

PDRM FC kemudiannya menggandakan jaringan menerusi gol pemain sayap, Mohamad Nabil Ahmad Lapti pada minit ke-33.

Uche Agba yang dimasukkan sebagai pemain gantian merembat gol ketiga untuk meletakkan The Cops di kedudukan lebih selesa pada minit ke-65.

Seorang lagi peledak The Cops, Bruno Suzuki menambah derita Kelantan apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-90.

Namun begitu, TRW menerusi Miguel Cifuentes berjaya menghasilkan gol saguhati tuan rumah pada minit-minit terakhir perlawanan.

Gol tersebut tidak dapat menyelamatkan Kelantan daripada dihimpit kekalahan kelima berturut-turut dalam saingan Liga Super musim ini.

Keputusan itu menyaksikan kedudukan jurulatih TRW, Frank Bernhardt kini umpama telur di hujung tanduk apabila dia gagal memberikan lima kemenangan buat skuad Kijang Merah.

Sebelum ini, pemilik kelab, Norizam Tukiman meletakkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada pengendali itu yang diberi amaran bakal dipecat jika tewas lima perlawanan.

Seorang penyokong Shah Hazizi berkata, nasib Frank kini 'nyawa-nyawa ikan' kerana telah tewas dalam lima perlawanan.

"12 perlawanan 43 bolos, berat molek gini nak perabis musim, nak jalan terus macam mana kalau terus begini.

"Coach Frank pun tak tahu apa nasib," katanya.

Untuk rekod, Kelantan tewas kepada Selangor FC dengan keputusan 0-3, Perak FC (3-2), Sabah FC (1-6) dan Kedah FC (0-5).

Kelantan kini menghuni tangga kedua terakhir dalam carta Liga Super dengan kutipan empat mata sepanjang 12 perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram