MFL tunggu laporan kes penyokong Perak-Selangor bergaduh


  • Podium
  • Isnin, 22 Mei 2023

Tangkap layar video memaparkan pergaduhan antara penyokong Perak FC dan Selangor FC dalam aksi perlawanan Liga Super 2023 di Stadium Ipoh, Perak pada Sabtu.

AKSI perlawanan Liga Super 2023 antara Selangor FC dan Perak FC yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh, Perak tercemar dengan insiden tercetusnya pergaduhan yang melibatkan penyokong masing-masing pada Sabtu.

Difahamkan, insiden itu berlaku di awal permainan apabila sekumpulan penyokong Perak FC menyerbu ke arah kawasan penyokong pelawat.

Susulan insiden tersebut, ramai pihak menggesa Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk bertindak lebih tegas bagi menangani isu tersebut agar tidak lagi berulang.

WhatsApp Image 2023-05-22 at 17.30.53

Skuad Selangor FC raih kemenangan di Stadium Perak. — Facebook/ Selangor FC

Mengulas lanjut tentang insiden terbabit, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam berkata, pihaknya sedang menunggu laporan rasmi perlawanan pihak keselamatan yang mengawal perlawanan itu.

"Kami menunggu match report (laporan perlawanan) dan laporan dari pihak Jabatan Keselamatan.

"Kemudian, kita akan menyerahkan laporan tersebut kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk tindakan lanjut," katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, Stuart memuji kecekapan pihak berkuasa untuk mengawal keadaan bagi mengelakkan perkara yang serius berlaku.

Stuart juga menjelaskan bahawa keselamatan para penyokong setia Gergasi Merah berada dalam pengawasan yang baik oleh pihak berkuasa pada perlawanan tersebut.

"Peminat Selangor berada dalam keadaan selamat selepas perlawanan itu kerana polis berjaya mengendalikannya dengan baik," katanya.

Untuk rekod, Selangor FC menewaskan Perak FC 4-0 di tempat lawan dalam aksi perlawanan ke-11 Liga Super 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram