LIGA Super 2023 menyaksikan pertembungan antara Johor Darul Takzim (JDT) dengan Sri Pahang FC yang bakal berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Rabu.
Pertembungan antara pasukan Harimau Selatan dan skuad Tok Gajah dikatakan sengit apabila kedua-dua pasukan tersebut berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah bagi Liga Super musim ini.
Sebelum ini, pasukan kendalian Fandi Ahmad menewaskan Penang FC 1-0 dalam aksi di Stadium Darul Makmur pada Sabtu, manakala JDT berjaya menundukkan Kuching City dengan 4-0.
Bagaimanapun, Fandi sebelum ini mengakui pasukannya sedang menghadapi masalah kecederaan kritikal di bahagian tengah dan serangan.
Antara pemainnya yang sedang berada dalam senarai kecederaan adalah penyerang import kelahiran Brazil, Lucas Silva dan perancang utama, Nor Azam Azih.
Dalam pada itu, skuad Biru Kuning turut berdepan masalah dari segi pertahanan apabila pemain bek kiri, tengah dan kanan tidak dapat diturunkan dalam aksi berkenaan kerana status pinjaman masing-masing.
Poster menjelang perlawanan Liga Super 2023 antara JDT dengan Sri Pahang FC
Pemain tersebut ialah Syazwan Andik dan Mohd Azrif Nasrulhaq yang masing-masing bermain di pertahanan kiri dan kanan, selain Izham Tarmizi sebagai penjaga gol.
Dengan ketiadaan mereka, Fandi perlu menurunkan pemain lain untuk beraksi di posisi berkenaan dengan Ashar Al Aafiz, Nicholas Swirad, Kevin Ingreso dan Muslim Ahmad berada dalam senarai yang boleh dipertimbangkan.
Bahkan, Ingreso memberi bayangan dia akan memikul tanggungjawab untuk menjaga benteng pertahanan Sri Pahang FC.
Perkara tersebut dikongsikan import Tok Gajah yang beraksi di posisi tengah bertahan itu di Instagram Story pada Selasa.
Pada masa sama, laman penyokong Palatao Bola turut memberi bayangan bahawa Ashar, Muslim dan Swirad akan diturunkan untuk beraksi bersama skuad.
Bagaimanapun, ada kebimbangan dalam line-up pertahanan tersebut.
Tangkap layar Instagram Story laman penyokong Palatao Bola pada Selasa.
Ini ekoran ketiga-tiga pemain itu jarang diturunkan bersama dalam aksi-aksi sebelum ini berikutan kebergantungan terhadap pemain pinjaman JDT.
Dalam situasi tersebut, mereka bertiga dirasakan sukar untuk mencari keserasian ketika aksi sebenar di atas padang nanti.
Selain itu, kurangnya komunikasi dalam gandingan empat bek tersebut akan menyebabkan pertahanan mudah goyah.
Namun, mereka dijangka tetap mampu menyerap tekanan daripada pihak lawan dalam tempoh 90 minit permainan.
Untuk rekod, Sri Pahang FC berada di kedudukan ketiga dengan mencatatkan 25 mata selepas mengharungi 11 perlawanan, manakala JDT terus kekal di persada carta Liga Super dengan 33 mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram