Bukan hanya Vinicius Jr di La Liga, tonggak JDT antara 3 pemain import pernah terpalit isu perkauman di Liga M


  • Podium
  • Selasa, 23 Mei 2023

Vinicius meluahkan kekecewaannya terhadap isu perkauman di Sepanyol. — Instagram/Vinicius

WALAUPUN penyokong sering diingatkan jangan membawa isu perkauman dalam saingan bola sepak yang sihat namun sehingga kini isu rasis sering menimpa sesetengah pemain termasuklah bintang dunia.

Seperti kejadian yang terjadi kepada pemain sayap Real Madrid, Vinicius Junior diejek dengan bunyi monyet terutamanya ketika dia terlibat dalam pergaduhan dengan pemain Valencia hingga menyebabkan dia dibuang padang.

Tidak tahan dengan layanan tersebut, Vinicius meluahkan ketidakpuasaan hatinya mengenai isu perkauman tersebut dan mengkritik La Liga sebagai liga paling rasis.

“Kejuaraan yang pernah dimiliki Ronaldinho, Ronaldo, Cristiano, Messi kini menjadi milik mereka yang rasis.

“Bukan pertama kali, bukan kedua kalinya dan bukan ketiga kalinya, La Liga seolah olah menganggap perkauman adalah normal,” luahnya di Instagram miliknya.

Bukan hanya di saingan tertinggi Sepanyol itu, isu perkauman juga berlaku dalam kancah domestik yang mana menyaksikan beberapa pemain termasuk import pernah mengalami sebegitu rupa itu.

Berikut merupakan tiga tonggak import Liga Malaysia (Liga M) yang pernah terpalit dengan isu perkauman;

1) Pape Diakite

diakite ss

Tangkap layar luahan kekecewaan Diakite.

Bekas bek tengah Terengganu FC (TFC), Pape Diakite pernah menyuarakan isi hatinya mengenai isu rasis menerusi laman Twitternya apabila dilontarkan kata-kata berbaur perkauman oleh penyokong Melaka United pada musim 2022.

Menurut Diakite, perkara berkenaan masih memberi luka dalam dirinya walaupun aksi di Stadium Hang Tuah itu bukan kali pertama dia berdepan situasi tersebut dalam kariernya.

"Sebahagian penyokong Melaka memanggil kami (pemain import) dengan negro bodo* yang bermaksud orang kulit hitam bodo*.

"Tetapi, kami berasa bangga di atas warna kulit kami dan sehingga mati sekalipun, ia adalah perkara yang memalukan sebagai seorang Muslim. Alhamdulillah," luahnya.

Susulan kejadian berkenaan, pihak pengurusan Melaka United mengeluarkan kenyataan maaf kepada pemain kelahiran Senegal itu di atas kelakuan penyokongnya.

2) Ndumba Makeche

WhatsApp Image 2023-05-22 at 23.23.08

Makeche menjadi mangsa perkauman penyokong Liga M. — Twitter/Makeche

Bukan sekali tetapi sebanyak tiga kali bekas pemain import Pulau Pinang, Ndumba Makeche menghadapi hinaan berbaur perkauman sepanjang lima tahun beraksi dalam saingan domestik.

Pemain yang kini berasksi di Liga Australia, Gwelup Croatia SC itu mendedahkan bahawa beberapa penyokong membuat bunyi seakan monyet terhadapnya sehingga meninggalkan trauma kepada Makeche.

Kejadian kedua menimpa pemain kelahiran Zambia itu ketika dia mewakili Felda United pada musim 2012 yang mana sesetengah penyokong juga membuat bunyi monyet ketika dia berlatih di tepi padang.

Ketika aksi persahabatan Penang FC menentang Perlis, pemain yang kini berusia 31 tahun itu juga sekali lagi dhina dengan bunyi monyet dari penyokong sehingga menyifatkan ia adalah memori paling menyedihkan dalam kariernya.

3) Mohamadou Sumareh

WhatsApp Image 2023-05-22 at 23.23.18

Sumareh beraksi selama empat musim di Sri Pahang sebelum sertai JDT pada 2021. — Instagram/Sumareh

Siapa sangka tonggak sayap Johor Darul Takzim (JDT) Mohamadou Sumareh pernah mengalami masalah sama iaitu ketika dia menyarung jersi Pahang pada musim 2017 hingga 2020.

Nigga, hitam dan motherfucke* antara kata-kata kesat yang berbaur perkauman dihadapi oleh pemain warisan Harimau Malaya itu sepanjang dia memulakan karier profesional di Malaysia.

Bukan hanya penyokong, malah pemain kelahiran Gambia itu juga mendedahkan bahawa terdapat seorang pemain yang turut melontar hinaan berbaur perkauman terhadapnya.

Namun begitu, identiti pemain berkenaan tidak didedahkan Sumareh dan individu tersebut juga sudah meminta maaf kepada tonggak berusia 28 tahun itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram