KAPTEN Johor Darul Takzim (JDT), Jordi Amat bakal menjadi salah seorang pemain yang sangat bertuah musim ini selepas sudah hampir pasti akan terpilih untuk aksi persahabatan Indonesia menentang Argentina.
Menentang Argentina, ianya boleh dianggap sebagai sesuatu yang istimewa buat para pemain Indonesia kerana mereka bakal berdepan dengan ramai bintang dunia secara bersemuka di atas padang.
Tidak ramai sebenarnya pemain di Asia Tenggara kini yang memperoleh peluang terbesar untuk menemui jaguh handalan dunia dan kesempatan itu pastinya digunakan sebaik mungkin oleh Sang Garuda.
Jordi Amat pernah menghadapi Lionel Messi ketika beraksi dalam saingan La Liga.
Apatah lagi status Argentina yang merupakan juara Piala Dunia edisi lalu di Qatar pastinya menjadikan skuad kendalian Shin Tae-yong akan mendapat satu pengalaman terbaik seumur hidup.
Sebelum itu, laman rasmi Argentina telah pun mengesahkan mereka akan tiba ke Asia pada bulan Jun ini untuk menentang dua negara iaitu Australia dan Indonesia.
Argentina akan menghadapi cabaran Australia terlebih dahulu di China pada 15 Jun sebelum menguji Indonesia empat hari kemudian di Jakarta.
Daripada ramai pemain yang akan dipanggil Shin Tae-yong untuk menghadapi Argentina pada perlawanan tersebut, kelibat Jordi boleh dianggap paling mencuri tumpuan ramai.
Apa tidaknya, pemain pertahanan JDT itu sebelum ini pernah menghadapi pemain bintang utama Argentina iaitu Lionel Messi ketika mereka bersama-sama beraksi dalam saingan La Liga.
Sebelum menyertai JDT, pemain berketinggian 1.85 meter itu telah pun memulakan kariernya di Sepanyol untuk menyertai Espanyol serta Rayo Vallecano selama beberapa musim selaku tonggak pertahanan.
Menerusi pengalaman luas dimiliki Jordi dalam saingan La Liga, pastinya pemain tersebut bakal menjadi pertaruhan penting Shin untuk diturunkan dalam kesebelasan utama.
Selain bakal mengekang pergerakan Messi, pastinya kelibat pemain lain seperti Alexis Mac Allister, Julian Alvarez, Lautaro Martinez dan beberapa lagi bintang lain perlu diawasi oleh Jordi bersama rakan sepasukan lain.
Walaupun begitu, peluang untuk penyokong Indonesia melihat kelibat Messi mungkin sedikit tipis kerana pemain itu pastinya akan beraksi pada perlawanan menentang Australia di China.
Apapun, ia masih lagi sesuatu yang menarik untuk diperkatakan kerana tidak ramai yang menjangkakan juara dunia bola sepak akan hadir ke Jakarta untuk bertemu Indonesia pada bulan hadapan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram