SELEPAS kemenangan besar ke atas Kelantan FC pada Jumaat, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) perlu memberi tumpuan kepada pencabar utama Liga Super, Selangor FC dalam menghadapi perlawanan ke-12.
Menerusi hantaran seorang penyokong skuad Hijau Kuning di laman Facebook PENA BOLA KEDAH, dia menyenaraikan beberapa perkara utama yang perlu diperbaiki oleh ketua jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain.
Menurutnya, terdapat beberapa perkara penting yang perlu diambil kira oleh pengendali Sang Kenari dalam mengubah corak permainan sebagai persediaan perlawanan seterusnya.
Aksi gembira pemain Sang Kenari setelah berjaya membawa pulang tiga mata penuh di laman sendiri. — Instagram/ kedahdarulamanfc
Walaupun perlawanan menentang The Red Warriors (TRW) tidak begitu sengit, namun Nafuzi perlu mengubah strategi dan taktikal Sang Kenari apabila berdepan dengan Gergasi Merah.
Antara perkara perlu diambil perhatian adalah dengan menggugurkan pemain sayap, Fayadh Zulkifli yang mana agak lemah dalam membuat keputusan ketika perlawanan berlangsung.
Ini kerana, Fayadh hanya memiliki kepantasan dan kualiti untuk menggelecek bola tetapi tidak dapat menyempurnakan sebagai penyudah dan tiada kebolehan crossing.
Selain itu, penyerang import Kedah Darul Aman (KDA) FC, Willian Lira dan Jonathan Balotelli dikatakan boleh memberi impak besar kepada pasukan KDA FC apabila mempunyai tahap keserasian yang cukup baik jika diletakkan sebagai duo serangan pasukan Sang Kenari.
Hal ini kerana, lorongan lolos Lira untuk Balotelli adalah bukti kesefahaman mereka selain kawalan bola dari Lira dan kelebihan gelecekan Balotelli boleh menjadi senjata penting untuk menghadapai perlawanan seterusnya.
Oleh itu, pengendali KDA FC perlu pertimbangkan pilihan dua penyerang selepas ini dalam memastikan Sang Kenari memperoleh kemenangan menentang Gergasi Merah.
Tambahan pula, pemain muda Hijau Kuning, Amirul Hisyam Awang Kechik bakal menjadi tumpuan pada perlawanan seterusnya apabila berjaya menggerakkan corak permainan pasukannya itu.
Pemain berketinggian 1.72 meter itu mempunyai kelebihan sebagai ball winning midfielder yang mana membolehkan Amirbek Juraboev bergerak dengan lebih tinggi seiring dengan Manuel Ott dan Lee Tuck.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram