Elak lagi 'silly mistake', fans harap anak jati Selangor jadi benteng terakhir lawan Perak


  • Podium
  • Selasa, 23 Mei 2023

Aksi menarik yang ditampilkan oleh Damien Lim. — Instagram/ limdamien

PASUKAN Sabah FC terpaksa akur dengan keputusan pengadil apabila sekadar berkongsi satu mata bersama Terengganu FC (TFC) pada aksi perlawanan ke-11 Liga Super yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Jumaat.

Hal ini kerana, terdapat beberapa perkara utama yang dipandang remeh oleh barisan pemain Sang Badak iaitu tidak memperkukuhkan benteng pertahanan dengan baik walaupun keputusan 90 minit permainan ketika itu berpihak kepada Sabah FC.

Namun begitu, penyerang berbisa TFC, Sony Norde menggunakan peluang sebaik mungkin apabila diberikan sepakan percuma dan berjaya menumbangkan penjaga gol Sang Badak, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke 90+4.

WhatsApp Image 2023-05-22 at 21.04.53

Damien Lim ketika beraksi bersama Sabah FC. — Instagram/ limdamien

Selepas kegagalan Sabah FC mengekalkan kemenangan di halaman sendiri akibat kecuaian beberapa pemain, kini giliran posisi penjaga gol pula diperkatakan.

Ramai penyokong setia The Rhinos memberikan pendapat agar pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee (DOKS) memberi peluang kepada Damien Lim untuk beraksi.

Pemain muda berusia 26 tahun itu mempunyai pengalaman yang luas dalam dunia bola sepak namun sering memanaskan bangku simpanan sahaja.

Berdasarkan statistik, pemain kelahiran Selangor itu hanya hanya bolos lima kali sahaja dalam empat perlawanan yang diturunkan dalam saingan Liga Super.

Berbanding Khairul Fahmi yang juga dikenali sebagai Apek, pemain kelahiran Kelantan itu bolos 11 jaringan dalam tujuh perlawanan yang diturunkan.

Perbezaan yang ketara itu menjadikan ia sebagai satu alasan yang kukuh untuk menurunkan Damien yang berketinggian 1.74 meter itu dalam menghadapi Perak FC pada 23 Mei nanti.

"Bagi saya Damien Lim (galas tugas penjaga gol), alasan saya Khairul Fahmi banyak buat kesilapan dan arahan kepada pertahanan tidak jelas. Damien Lim lebih sesuai kerana lebih baik dari Khairul," kata Md Izzul Islam.

"Saya pilih Damien Lim kerana prestasinya akan bertambah baik kalau selalu diturunkan walaupun jarang bermain tapi dia berjaya mendapat panggilan dalam kem kebangsaan baru-baru ini," kata Lexx P.

"Kalau saya Damien Lim sebab dia goalkeeper nombor tiga kebangsaan, dia perlu banyak minit permainan untuk lebih padu dan tangkas dari segi mental dan fizikal supaya lebih memudahkan dia jadi penjaga gawang nombor satu atau dua negara," kata Stanley Chee.

Oleh itu, penyokong berharap agar DOKS membuat keputusan yang tepat untuk menurunkan penjaga gawang yang berkualiti dan mempunyai kebolehan dalam menangkap bola dengan kemas menjelang perlawanan seterusnya.

Skuad Sabah FC bakal menerima kunjungan daripada Perak FC dalam aksi perlawanan ke-12 Liga Super pada 23 Mei di Stadium Likas, Sabah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram