'Bukan normal tetapi memang berlaku', legenda Perak kongsi pengalaman pergaduhan penyokong


  • Podium
  • Selasa, 23 Mei 2023

Tangkap layar video memaparkan pergaduhan antara penyokong Perak FC dan Selangor FC dalam aksi perlawanan Liga Super 2023 di Stadium Ipoh, Perak pada Sabtu.

KEKECOHAN yang berlaku ketika aksi perlawanan ke-11 antara skuad Selangor FC dan Perak FC dalam aksi Liga Super pada Sabtu mencetuskan tanda tanya para penyokong bola sepak tempatan mengenai punca perkara itu berlaku.

Insiden itu berlaku di awal permainan apabila sekumpulan penyokong skuad Seladang menyerbu ke arah kawasan menempatkan penyokong pelawat.

Pergaduhan itu berlaku apabila segelintir golongan daripada penyokong kedua-dua pasukan yang dikenali sebagai 'casual' melakukan kekecohan sehingga mengganggu pihak yang tidak terkesan.

Namun begitu, kehadiran bebeberapa orang anggota polis yang menjaga kawasan tersebut dilihat gagal mengawal pertembungan fizikal antara penyokong kedua-dua pasukan terbabit namun berjaya dileraikan oleh beberapa anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

WhatsApp Image 2023-05-23 at 17.39.07

Sekitar insiden yang berlaku antara penyokong Selangor-Perak dikawal oleh pihak berkuasa.

Pergaduhan tersebut mendapat perhatian legenda bola sepak tempatan yang mana memberikan sedikit pandangan mengenai insiden tersebut.

Menurut legenda bola sepak Perak, Khalid Jamlus, insiden seperti itu memang sering berlaku dalam dunia bola sepak namun bukan bermaksud perlu menjadi kebiasaan kepada generasi hari ini.

"Fans gaduh itu biasa, zaman saya dulu ada juga lah berlaku pergaduhan seperti baling batu dan bas dipecahkan, ia bukan normal tetapi memang berlaku.

"Memang pernah juga pergaduhan berlaku, tapi ketika itu sebagai pemain, kami pun tidak tahu apa yang berlaku di luar stadium dan hanya mengetahui apabila membaca surat khabar," katanya kepada Majoriti.

Selain itu, legenda Perak itu turut mengatakan bahawa harapannya sebagai bekas pemain bola sepak tempatan agar perkara tersebut tidak berulang lagi kerana ia akan menjejaskan imej buruk negara di mata dunia.

"Harapan saya kalau boleh elakkan berlakunya isu-isu tidak puas hati kerana sebagai penyokong kita datang untuk menyokong dan kita faham emosi dan amarah tidak dapat dikawal.

"Kurangkan bergaduh selepas perlawanan dan elakkan perkara-perkara yang serius berlaku sebab tidak baik dipandang di luar negara," jelas Khalid.

Tambahnya lagi, antara perkara yang perlu diberikan ketika aksi perlawanan berlangsung adalah penekanan dari segi barisan badan uniform yang bertugas untuk mengawal keadaan selepas aksi tamat.

"Saya berharap dengan badan beruniform yang bertugas dapat meleraikan perbalahan seperti itu kerana perlawanan tersebut bergantung kepada anggota polis dan FRU.

"Anggota badan beruniform perlu memperketatkan pemerhatian kepada penyokong selepas perlawanan dan khususkan kepada pasukan-pasukan yang berkebolehan mempunyai kekecohan berlaku.

"Untuk perlawanan yang penting, perbanyakan badan beruniform untuk menjaga keselamatan selepas aksi perlawanan," katanya.

Oleh itu, tegas Khalid, penyokong memainkan peranan penting dalam mengawal emosi agar tidak terlalu mengikut perasaan yang boleh memudaratkan diri sendiri atau orang sekeliling.

Selain itu, katanya, anggota polis dan FRU yang bertugas perlu memastikan keselamatan para penyokong yang turut hadir dalam mana-mana aksi perlawanan dapat dikawal dan dijaga dengan baik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram