PASUKAN Terengganu FC (TFC) bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat Sabah FC 2-2 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Likas, Sabah pada Jumaat.
Skuad Sabah FC membuka jaringan pada minit ke-28 apabila Telmo Castanheira menanduk masuk bola daripada sepakan percuma ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar.
Tidak lama selepas itu, tuan rumah memperoleh sepakan penalti selepas pengadil mengesan bola terkena tangan pertahanan Terengganu dan Darren Lok tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan peluang itu pada minit ke-37.
DOKS perlu memastikan persediaan taktikal dan strategi yang betul menjelang perlawanan seterusnya. — Instagram/ officialsabahfc
Walaupun begitu, TFC tidak memberikan ruang untuk Sabah berasa selesa dengan kelebihan dua gol yang mana Sonny Norde sempat mengecilkan jurang jaringan itu menerusi tendangan bebas pada penghujung separuh masa pertama dan dikejutkan dengan gol saat-saat akhir oleh pemain Haiti itu menerusi satu lagi sepakan percuma.
Oleh itu, ramai penyokong Sang Badak menyebut beberapa nama tonggak utama yang perlu diturunkan oleh pengendali Datuk Ong Kim Swee (DOKS) pada perlawanan menentang Perak FC sekaligus memastikan pasukan Sabah FC terus berada dalam 'Top 5' carta Liga Super 2023.
Hal ini kerana, menurut pandangan penyokong setia Sang Badak, pemain yang diturunkan oleh DOKS sedikit mengecewakan kerana tiada keserasian dengan barisan pemain utama itu.
Meskipun cemerlang setiap penampilan, namun aksi yang dipamerkan oleh Park Tae-su dalam membantu bahagian pertahanan The Rhinos ketika perlawanan menentang TFC kurang menyerlah kerana ketiadaan tiga tonggak utama Sang Badak yang menyebabkan corak permainan mereka kucar-kacir.
Khidmat pemain kebangsaan Indonesia, Saddil Ramdani antara nama yang disebut oleh penyokong bola sepak untuk membantu jentera serangan Sang Badak ketika aksi perlawanan seterusnya kerana pernah membantu meledak dua gol buat Sabah FC.
Selain itu, kebolehan dan kelincahan pemain import kelahiran Korea, Ko Kwang-min itu juga diperlukan untuk membantu bahagian pertahanan Sabah FC mematahkan serangan pihak lawan nanti sekaligus membantu penjaga gol pasukan agar tidak mudah dibolosi oleh pihak lawan.
Tambahan pula, anak kelahiran Kedah, Rizal Ghazali turut disebut untuk menjaga kubu pertahanan The Rhinos berikutan pengalamannya yang luas dalam dunia bola sepak selain membantu Sabah FC mendapat tempat ketiga dalam saingan Liga Super musim lalu.
Oleh itu, DOKS perlu mempertajamkan jentera serangan dan memperkukuhkan benteng pertahanan Sang Badak dengan menurunkan tonggak utama menjelang aksi perlawanan ke-12 menentang Perak FC pada 23 Mei di Stadium Likas, Sabah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram