Bib kuning, baju T merah: Bojan Hodak dan kepercayaan tahayulnya


  • Podium
  • Ahad, 09 Apr 2023

Bojan memakai bib kuning dan baju T merah bertuah pada musim 2021. — Facebook/MFL

LAPTOP Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.

SEPERTI rakan senegaranya, Goran Ivanisevic, legenda tenis yang menjuarai Kejohanan Wimbledon 2001, ketua jurulatih Kuala Lumpur City, Bojan Hodak, tidak berselindung bahawa dia turut cenderung kepada kepercayaan tahayul.

Sambil berharap dia tidak dipersendakan gara-gara itu atau dipersalahkan kerana membawa pengaruh kepercayaan karut, Bojan menawarkan penjelasan bahawa pegangannya itu sekadar suka- suka di samping dia belum dibuktikan tersilap sejauh ini.

Anggap ia sesuatu yang berkebetulan semata-mata atau tiada kaitan langsung dengan mana-mana cerita kejayaan, jurulatih berbangsa Croatia itu, bagaimanapun, tidak menggolongkan dirinya “pelik” kerana ia turut lazim dengan ramai personaliti sukan dunia.

Pemain tenis, Serena Williams, tidak akan menukar stokinnya sepanjang sesuatu kejohanan, legenda bola keranjang, Michael Jordan, sentiasa memakai seluar pendek Universiti California Utara (UNC) di dalam seluar pendek NBAnya, atlet MMA, Lyoto Machida, meminum air kencingnya sendiri setiap hari dan bekas penjaga gol Argentina, Sergio Goycochea, akan kencing di dalam seluarnya setiap kali berdepan sepakan penalti lawan. Itu antara contoh.

Musim lalu Bojan berjaya bawa KL City ke pentas final Piala AFC. Facebook/AFC

“Jadi, anda harus lihat saya tidak berbeza dengan mereka tapi saya tidak mengamalkan sesuatu yang pelik, hanya rutin yang biasa-biasa,” kongsinya dengan Laptop Cabuk.

Cerita kepercayaan tahayul yang paling banyak dikongsi haruslah liku-liku kejayaan Ivanisevic daripada sekadar seorang pemain ‘wild card’ dengan ranking 125 dunia yang tampil dalam perlawanan akhir perseorangan lelaki Wimbledon 2001 di Kelab All England dalam perjalanan menundukkan bekas pemain nombor satu dunia dan pilihan ketiga, Pat Rafter.

Dilaporkan jika Ivanisevic menang satu perlawanan dalam sesebuah kejohanan, dia akan mengulangi apa saja sepanjang hari itu sejauh mana pun kemaraannya.

Untuk Wimbledon, dia hanya makan di restoran yang sama, duduk di meja yang sama serta memesan menu yang serupa - sup ikan, jus oren, daging kambing dengan kentang goreng serta aiskrim dengan sos coklat - setiap hari.

Tidak sekadar itu, dia turut mewajibkan dirinya menonton siri televisyen kanak-kanak, Teletubbies, di kamar hotelnya pada waktu yang sama setiap pagi sebelum memulakan aktiviti hariannya.

Bojan Hodak

Bojan mula membimbing KL City pada 2021. Stadium Astro

Apa pula kisah Bojan?

Baju T merah Puma pasukan dan bib kuning ‘Active Sports’ menjadi tangkal buatnya sepanjang musim yang cemerlang pada 2021 yang turut memasyhurkan Kuala Lumpur City sebagai juara edisi ke-100 Piala Malaysia dengan mengejutkan Johor Darul Takzim (JDT) 2-0 hasil gol Zhafri Yahya dan Paulo Josue.

“Saya diberikan penaja bib itu dari perlawanan pertama lagi untuk disarungkan menutupi baju T merah pasukan bagi membezakan dengan pemain-pemain saya di tengah padang.

“Saya tidak pernah tertinggal memakainya. Anda harus tidak percaya yang kami tidak pernah kalah di tempat sendiri sepanjang musim 2021, termasuk perlawanan terakhir dalam final Piala Malaysia itu,” katanya.

Rekod mengiyakan kenyataannya itu sebagaimana keputusan berikut: UiTM 1-0, Perak 3-0, Sabah 0-0, Sri Pahang 2-1, JDT 1-1, Penang 3-1, Selangor 1-1, Melaka United 1-1, PJ City 1-0, Terengganu 1-0 dan Kedah 2-1 untuk keseluruhan tujuh kemenangan dan empat keputusan seri dalam Liga Super.

Dalam kempen Piala Malaysia pula, Kuala Lumpur City yang diundi dalam Kumpulan A bersama Sarawak United, Sri Pahang dan Penang, menang empat dan seri dua daripada enam perlawanannya untuk menduduki tangga teratas.

Seterusnya, di peringkat kalah mati, mereka menyingkirkan Selangor (agregat 3-0) dalam suku akhir dan Melaka United 5-3 menerusi penentuan penalti setelah terikat agregat 2-2 dalam separuh akhir.

Bojan menamatkan kemarau 32 tahun KL City untuk merangkul Piala Malaysia pada 2021. Facebook/MFL

“Memenangi lambungan syiling sebagai pasukan tuan rumah dalam final Piala Malaysia, saya seperti biasa mengenakan baju T merah dan bib kuning.

“Kami muncul juara dan bukanlah selalu Piala Malaysia menyambut ulang tahun seabad. Pasukan-pasukan lain harus menunggu 100 tahun lagi untuk menang edisi yang begitu bersejarah,” selorohnya.

Menjelang final itu, pemain-pemain turut dibekalkan penaja satu set baju T merah tetapi mereka juga terus mengenakan yang lama bagi mengekalkan tuah.

Lebih dahulu sebelum itu, Bojan turut menyusuri ‘ketahayulan’ yang sedikit berbeza ketika mengemudi skuad muda negara dalam Kejohanan AFF Bawah 19 Tahun di Surabaya, Indonesia pada 2018.

“Selepas mendaftar masuk, kami diberi sebuah dewan kecil oleh pihak hotel untuk mesyuarat pasukan selain tempat kami makan tengah hari dan makan malam.

“Selepas kami menang perlawanan pertama (kalahkan Kemboja 2-0 hasil gol A. Shivan Pillay dan Akhyar Rashid), kami meminta untuk terus menggunakan dewan yang sama dan tidak mahu menukarnya.

“Pada satu ketika selepas selesai perlawanan peringkat kumpulan, pihak hotel mahukan dewan itu semula untuk tempahan satu majlis perkahwinan tapi kami berkeras mahu terus menggunakannya dan mereka membenarkan,” sambungnya.

Bojan jurulatih pertama berjaya bawa Malaysia memenangi Kejohanan AFF B-18. Facebook/FAM

Barangkali dengan tuah dewan itu, Malaysia menjuarai Kumpulan B yang mengandungi Myanmar, Kemboja, Timor Leste dan Brunei dengan tiga kemenangan dan satu seri.

Seterusnya, tuan rumah, Indonesia, dikecewakan 3-2 menerusi penentuan penalti selepas terikat 1-1 dalam separuh akhir yang hampir mencetuskan rusuhan penonton, disusuli kemenangan 4-3 ke atas Myanmar dalam final, termasuk hasil dua gol Nik Akif Syahiran Nik Mat.

Itulah julung-julung kalinya Malaysia muncul juara kejohanan berkenaan selepas empat kali bergelar naib juara pada 2003, 2005, 2006, 2007 dan 2017.

Harus ada yang tertanya-tanya apa terjadi kepada bib kuning dan baju T merah bertuah pada musim 2021 itu.

“Bib itu saya berikan kepada seorang penyokong kami. Baju merah itu pula saya hadiahkan kepada sebuah muzium Selangor atas permintaan mereka,” ujarnya.

Apa pula ‘tangkal’ buatnya bagi musim 2023 ini?

“Saya perlu ingat semula apa yang saya pakai ketika mengalahkan Sabah tempoh hari (kemenangan pertama KL City musim ini),” kata jurulatih berusia 52 tahun itu menutup cerita. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram