Kes rusuhan penyokong di Stadium Perak, polis tahan 4 suspek termasuk kaki ganja


  • Podium
  • Ahad, 21 Mei 2023

Tangkap layar video tular rusuhan yang berlaku antara penyokong Perak FC dan Selangor FC dalam aksi perlawanan Liga Super 2023 di Stadium Ipoh, Perak pada Sabtu.

SALAH seorang daripada empat lelaki yang ditahan dalam kekecohan berlaku antara penyokong Perak FC dan Selangor FC di Stadium Perak, Ipoh, Perak didapati positif ganja.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, perkara itu dikesan selepas individu terbabit melalui ujian saringan air kencing.

Katanya, dalam kejadian tersebut, empat lelaki ditahan itu merupakan warga tempatan berusia lingkungan 18 hingga 26 tahun.

"Kesemua tahanan ini akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Ahad untuk permohonan tahan reman," katanya dalam satu kenyataan.

Yahaya berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu atas kesalahan merusuh.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kejadian terbabit berlaku pada pukul 9.17 malam setelah pihaknya mengesan satu video tular memaparkan berlakunya kekecohan tersebut menerusi aplikasi WhatsApp.

Yahaya turut menyeru orang awam yang menyaksikan atau mempunyai sebarang maklumat (video atau gambar) mengenai kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, ASP Chua Sze Yuan di talian 012-6195312 untuk membantu siasatan.

Pada Sabtu, Majoriti melaporkan mengenai rusuhan berlaku membabitkan penyokong Perak FC dan Selangor FC di kawasan tempat duduk stadium.

Insiden berkenaan turut dirakam menerusi beberapa video tular di sosial media.

Bagaimanapun, rusuhan tersebut berjaya dileraikan anggota asukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang segera hadir ke lokasi terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram