Nik Akif perlu ada misi tambahan jika nak isi slot pemain tengah negara ke Piala Asia


  • Podium
  • Ahad, 21 Mei 2023

Nik Akif (berbaju biru) ketika aksi menentang Sri Pahang FC dalam perlawanan Liga Super 2023 pada Sabtu. — Facebook/PenangFC

MENDAPAT panggilan mewakili skuad negara merupakan antara penghormatan tertinggi yang boleh diperolehi oleh seorang pemain bola sepak.

Apatah lagi jika panggilan tersebut bagi menyarung jersi skuad kebangsaan untuk menghadapi kejohanan berprestij seperti Piala Asia.

Disebabkan itu, tonggak tengah Penang FC, Nik Akif Syahiran tidak dapat menyembunyikan hasratnya untuk dipanggil mewakili skuad Harimau Malaya dalam kejohanan yang bakal berlangsung pada Januari tahun depan.

Perkara itu dikongsikan dalam temu bualnya bersama media harimaumalaya yang disiarkan di Instagram.

Dengan melihat kepada jumlah aksinya pada musim ini, kemungkinan tersebut tidaklah jauh.

Ini kerana pemain berusia 24 tahun itu berjaya mengutip minit perlawanan agak memberangsangkan dan dilihat menjadi tulang belakang kepada bahagian tengah skuad Pulau Mutiara itu.

penang 1

Nik Akif (kiri) dilihat menjadi tulang belakang kepada bahagian tengah Penang FC pada musim ini. — Facebook/PenangFC

Daripada 11 perlawanan liga diharungi Penang FC, Nik Akif tampil dalam tujuh aksi sebagai pemain kesebelasa utama dan berjaya menyumbat dua jaringan serta dua bantuan gol.

Namun begitu, Nik Akif yang terkenal dengan kebijaksanaanya dalam membuat hantaran lolos itu ketika ini masih belum berjaya memikat hati pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon.

Di sebalik aksi positif dipamerkan pemain yang pernah menyarung jersi Terengganu FC itu, dia masih tidak dipanggil untuk membarisi pasukan Harimau Malaya untuk menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa pada Mac lalu.

Terdapat pihak berpandangan sosok tubuhnya yang agak kecil dengan ketinggian 1.64 meter (m) membuatkannya dilihat kurang diyakini untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.

Malaysia's Nik Akif Syahiran Nik Mat (left) making a pass while against Cambodia during the SEA Games group A match at Rizal Memorial Stadium in Manila, Philippines yesterday. IZZRAFIQ ALIAS / The Star. December 4, 2019.

Nik Akif (kiri) turut pernah menjadi tonggak utama skuad Bawah 23 Tahun negara.

Disebabkan itu, ada peminat bola sepak tanah air berpandangan Nik Akif yang juga pernah bersama Kelantan FC perlu berusaha lebih dalam permainannya.

"Harap Nik Akif ni bina sikit badan dia. Boleh saiz macam Andres Iniesta, Xavi Hernandez dah OK untuk jadi playmaker," ujar hrryghzl.

Dalam panggilan terbaharu skuad kebangsaan pada Mac lalu, lapan pemain tengah yang dipanggil ialah Endrick Dos Santos daripada Johor Darul Takzim (JDT), Syamer Kutty Abba (JDT), Stuart Wilkin (Sabah FC) dan Brendan Gan (Selangor FC).

Empat lagi ialah Fayadh Mohd Zulkifli (KDA FC), Nor Azam Azih (Sri Pahang), Paulo Josue (KL City) dan Nooa Laine (SJK Seinajoki).

Tempoh berbaki kira-kira tujuh bulan sebelum Piala Asia pastinya memberikan ruang untuk Nik Akif bagi membuktikan nilai khidmat mampu diberikan kepada skuad negara.

Skuad negara dijangka berhadapan dengan beberapa lagi siri perlawanan persahabatan sebagai persediaan bagi menghadapi Piala Asia 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram