NUKILAN 'Laptop Cabuk' menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.
SEKEMBALI dari rumah terbuka Aidilfitri, Datuk Ong Kim Swee tidak dapat menghindarkan diri daripada membicarakan nasib berlawanan Khairul Fahmi Che Mat dan Sonny Norde yang berperanan menentukan kesudahan pertemuan Sabah FC-Terengganu FC pada Jumaat.
Tanpa mahu menyalahkan penjaga golnya di atas keputusan seri 2-2 di Stadium Likas, Kota Kinabalu itu, ketua jurulatih Sabah FC itu juga tidak lokek untuk memberikan tabik hormat kepada Sonny, pemain sayap Terengganu FC yang disifatkannya luar biasa malam tadi.
“Tidak. Saya tidak akan menyalahkan Apek (Khairul Fahmi) di atas dua gol yang bolos melalui sepakan percuma.
“Ia boleh berlaku kepada mana-mana penjaga gol dan pujian kepada Sonny kerana memiliki teknik sepakan yang padu dan laju,” katanya kepada Laptop Cabuk.
Pengendali Sabah FC, Kim Swee tidak mahu menyalahkan penjaga gol pasukannya. — Facebook
Ketua jurulatih itu tidak bersetuju dengan pandangan bahawa Khairul Fahmi – pada hari-hari terbaiknya bersama Kelantan dan pasukan kebangsaan pada masa lalu – akan mudah menggagalkan kedua-dua sepakan percuma lawan itu umpama mengutip belon di udara.
“Saya boleh lihatnya dengan jelas dari tempat saya berdiri. Sepakan Sonny untuk gol pertama itu laju dan melencong sedikit di penghujung untuk menewaskannya,” katanya merujuk kepada gol pertama skuad Sang Penyu itu pada masa pemberhentian separuh masa pertama (45+1).
Sebaliknya, gol kedua Sonny untuk Terengganu mengikat kedudukan 2-2 pada masa pemberhentian di penghujung perlawanan (90+4), yang lebih mengundang rasa terkilan bekas jurulatih skuad Bawah 23 Tahun kebangsaan dan Harimau Malaya itu.
Sony Norde mengikat Sang Badak menerusi sepakan percuma. — Facebook
Menuju ke minit-minit akhir permainan ketika sedang mendahului 2-1, katanya, pemain-pemainnya sepatutnya lebih arif untuk ‘memegang’ bola selama yang boleh bagi menafikan lawan sebarang peluang.
Sebaliknya, mereka dipersalahkan atas satu kekasaran di luar petak penalti untuk Terengganu FC dihadiahkan sepakan percuma yang terbukti sangat merugikan buat pasukan tuan rumah itu, yang sebelumnya memiliki rekod 100 peratus di Stadium Likas.
“Sepakan percuma minit terakhir itu benar-benar meletakkan kami dalam keadaan tertekan. Kami tidak sepatutnya memberi sepakan percuma dalam saat-saat genting seperti itu.
“Ia sangat menhampakan untuk kami memberikan sepakan itu (sedangkan) kami sudah pun tahu keupayaan Sonny dalam mengambil sepakan sedemikian,” tambahnya.
Apek tidak dapat menangkap kemas rembatan kencang Sony Norde. — Facebook
Lebih malang lagi, kata Kim Swee, seorang pemainnya yang membina benteng bersama rakan sepasukan, bergerak sedikit ketika sepakan percuma itu diambil.
“Tiada apa yang dapat dilakukan Apek (yang hanya tercegat) apabila bola ‘menembusi’ benteng terus ke penjuru kiri pintu golnya.
“Saya beritahu pemain-pemain yang saya belum lagi dengar ada pemain yang mati terkena bola sepakan percuma. Saya ingatkan mereka ‘ia tidak akan membunuh kamu’.
“Tapi ia sudah pun berlaku dan kami perlu belajar daripadanya dan lebih beringat agar tidak mengulangi kesilapan serupa pada masa depan.
“Perkara yang sama (pemain bergerak ketika mendirikan benteng), pernah berlaku sekali musim lalu. Selepas kami terus berlatih membetulkannya, ia tidak berlaku lagi hinggalah perlawanan ini.
“Nampaknya, saya perlu terus ingatkan pemain dan lakukan lebih banyak latihan dalam menghadapi situasi sepakan percuma,” katanya.
Barisan pemain TFC yang bekerja keras untuk menyamakan kedudukan. — Facebook
Kim Swee turut berkongsi firasatnya mengapa pemain kebangsaan Haiti, Sonny, seakan-akan menyimpan kukunya sehingga berdepan dengan Sabah FC.
“Dia menawarkan dirinya untuk menyertai Sabah FC (daripada Melaka United) pada akhir musim lalu tapi atas kekangan bajet, kami terpaksa menolak.
“Kami memang tidak mampu kerana habuan yang dituntutnya cukup untuk kami menggaji dua pemain berbeza,” katanya sambil mengakui ada mendengar yang pemain berusia 32 tahun itu kurang menyerlah bersama skuad Sang Penyu sebelum ini.
Malah, kelibatnya sering keluar masuk dalam kesebelasan pasukan, dengan sering berganti-ganti tempat dengan penyerang lain, termasuk Jordan Mintah dan Ivan Mamut.
“Barangkali kerana itulah dia bermati-matian ketika menentang kami kerana dia ada sesuatu yang dia pendam untuk ditunjukkan kepada kami.
“Tapi, pada hari terbaiknya seperti malam tadi (Jumaat), saya harus akui yang Sonny adalah seorang pemain serangan yang bagus dan berbisa,” katanya lagi.
Penjaga gol TFC menangkap kemas cubaan jaringan dari tuan rumah. — Facebook
Kim Swee turut memberi pujian kepada Terengganu yang mampu bangkit untuk meraih keputusan seri itu selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut kepada Selangor FC 1-5 (18 April) dan Sri Pahang 1-2 (28 April) yang meleburkan rekod tanpa kalahnya di tempat sendiri.
“Mereka berupaya menyukarkan kami daripada bermain dengan corak sebenar kami.
“Selepas kalah dua kali sebelum ini, mereka mahu menunjukkan bahawa mereka bukanlah lawan yang mudah.
“Hakikat bahawa Terengganu FC memiliki 51 peratus penguasaan bola (dengan 13 percubaan) dan menggerakkan bola dengan baik, membuat ia permainan yang sukar buat kami,” katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram