[VIDEO] Enggan salam pemain Rusia, atlet tenis Ukraine bawa mesej kekejaman ke gelanggang


  • Podium
  • Sabtu, 20 Mei 2023

Tindakan Kalinina tersebut mencuri perhatian pelbagai pihak, terutamanya peminat tenis antarabangsa. — Agensi

KONFLIK politik yang berterusan antara Rusia dan Ukraine memberi kesan yang cukup besar dengan beberapa negara lain turut mengambil berat akan isu tersebut.

Masalah tersebut bukan sahaja memberi kesan dari segi ekonomi dunia kerana ia sedikit sebanyak sudah menyebabkan beberapa sektor lain terkena tempias.

Antaranya ialah industri sukan apabila Rusia sering dikenakan tindakan sekatan, termasuk ketika Piala Dunia 2022 dengan FIFA menghalang penyertaan mereka.

Malah, sektor sukan yang menarik perhatian jutaan penonton saban hari juga menggunakan platformnya untuk menyebarkan berita mengenai nasib penduduk dan warga Ukraine yang terjejas akibat peperangan itu.

Antara aksi yang menyaksikan Kalinina enggan bersalaman dengan atlet Rusia. Facebook/WTA

Baru-baru ini, perkara itu sekali lagi dibangkitkan apabila pemain tenis Ukraine, Angelina Kalinina menyampaikan mesej mengenai kekejaman negara jirannya itu.

Ketika aksi Kejohanan Terbuka Tenis yang diadakan di Charleston, Amerika Syarikat, pemain berusia 26 tahun berkenaan mengambil keputusan untuk tidak bersalaman dengan Anna Kalinskaya selepas mencatatkan kemenangan.

Hal itu jelas menerima perhatian pelbagai pihak, termasuk peminat tenis serata dunia yang menyokong keputusan atlet terbabit.

"Saya tidak bersalam dengannya selepas perlawanan kerana dia merupakan seorang atlet kelahiran Moscow, Rusia," kata Kalinina selepas perlawanan berkenaan.

Sebelum ini, pemain tenis berketinggian 1.8 meter (m) itu turut mengambil pendekatan sama ketika dia bertemu atlet dari Rusia, Veronika Kudermetova dalam aksi yang berlangsung di Dubai.

Persatuan Tenis Sedunia (ITF) sebelum ini menegaskan tiada atlet boleh bertanding di bawah bendera Rusia berikutan serangan yang dilakukan sejak beberapa tahun lalu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram