SEORANG perwakilan Ukraine bertindak menumbuk muka perwakilan Rusia ketika satu acara persidangann di Ankara, Turkiye, pada Khamis selepas bendera Ukraine yang dipegangnya dirampas.
Video tersebut dikongsikan sendiri oleh Oleksandr Marikovski di Facebooknya memaparkan dirinya memukul perwakilan Rusia terbabit bagi mendapatkan semula bendera terbabit.
Insiden di Turki berlaku di lorong bangunan parlimen di Ankara, iaitu tempat berlangsungnya Perhimpunan Parlimen Kerjasama Ekonomi Laut Hitam (PABSEC).
Dilaporkan, ketika insiden, perwakilan Rusia terbabit sedang melakukan photobomb terhadap satu rakaman temu bual.
Sebelum itu, beberapa perwakilan Ukraine bergelut dengan pegawai keselamatan yang cuba menghalang tindakan mereka mengadakan protes dengan menjerit dan memegang bendera Ukraine di sebelah perwakilan utama Rusia yang sedang berucap di perhimpunan berkenaan.
Gambar perkelahian itu turut disiarkan parlimen Turkiye di laman webnya.
Ketua parlimen, Mustafa Sentop, mengeluarkan teguran keras ekoran kejadian tersebut.
"Saya mengecam tingkah laku ini yang mengganggu persekitaran aman yang cuba diwujudkan Turki," katanya.
Ketika wakil dari 13 negara dalam BSEC bertemu, dron Rusia ketika ini dilaporkan terus menyerang ibu kota Ukraine, Kyiv.
"Pada masa ini tiada rundingan damai untuk menamatkan perang yang telah memusnahkan bandar dan kota Ukraine serta membunuh ribuan orang dan menyebabkan jutaan penduduk kehilangan kediaman mereka. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,